Komitmen UMNO lebih penting

Komitmen UMNO lebih penting. Sejak akhir-akhir ini menampakkan politik bumiputera terutama UMNO semakin dibingkaikan sebagai parti yang berpecah belah dan melawan arus perubahan politik negara ini. Kelihatan juga dalam strategi komunikasi, politik UMNO berjaya dibingkaikan sebegini kerana terdapat beberapa kebenaran mengenai hal tersebut.

Politik pembingkaian adalah bagaimana media massa digunakan sebagai satu gambaran bingkai yang mempunyai fakta tetapi dalam senario yang membiaskan imej sasaran parti atau individu tertentu.

Di sini kelihatan UMNO dibingkaikan sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah parti yang melawan arus politik bumiputera dalam zaman integrasi politik. Terdapat beberapa insiden yang disengajakan oleh kepimpinan tertinggi UMNO untuk menarik diri daripada integrasi politik kerajaan diterajui PN.

Insiden demi insiden ini akhirnya membingkaikan UMNO sebagai sebuah parti politik bingkai dalam arus politik negara hari ini. Berkemungkinan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini tidak sedar akan persepsi politik bingkai UMNO hari ini oleh masyarakat awam.

Jika persepsi ini terus menerus dibina hari demi hari, akan sampai suatu ketika nanti UMNO bakal ditolak sepertimana berlaku kepada parti Golkar di Indonesia. Tidak mustahil hal sedemikian boleh berlaku.

Dalam isu persetujuan dalam kalangan kepimpinan UMNO untuk memanggil bersidang turut mengundang satu konflik. Konflik ini berakhir dengan wujudnya desakan supaya kepimpinan Presiden berundur daripada jawatan beliau.

Ini membingkaikan UMNO kini masih tidak berubah walaupun sudah mempelajari sebab-sebab kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sepatutnya UMNO kini perlu membina satu bingkai gambaran yang lebih baik dalam kerajaan diterajui PN.

Sokongan di peringkat akar umbi masih ada untuk UMNO tetapi sokongan masyarakat kelas pertengahan berpendidikan agak kritikal ke atas tindakan dan kata-kata daripada pemimpin-pemimpin UMNO.

Walaupun kelihatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai ahli tidak seramai UMNO, tetapi pembingkaian ke atas Bersatu masih memuaskan setelah 18 bulan pemerintahan sebagai kerajaan negara ini.

Walaupun terdapat kritikan ke atas cara kerajaan diterajui Bersatu dalam menangani pandemik Covid-19, perlu diingatkan musibah wabak ini masih terkawal dan menunjukkan penurunan di beberapa negeri setelah lebih sebulan sekatan pergerakan.

Kebajikan rakyat dan kebijaksanaan bagaimana kerajaan diterajui PN memberikan ruang untuk perniagaan dibuka di samping mengawal wabak perlu dihargai. Pada masa kini, serangan untuk membingkaikan kerajaan diterajui PN sebagai kerajaan gagal kurang berjaya mempengaruhi persepsi masyarakat awam. Pembingkaian tersebut gagal dan kurang menampakkan Bersatu adalah parti politik bingkai.

Ahli Parlimen Barisan Nasional Sepakat Kekal Sokong Perikatan Nasional [VIDEO]

DURIAN

Ini menunjukkan kepemimpinan politik perlu sedar bahawa keutuhan kerajaan adalah disumbangkan oleh kerjasama dan kepercayaan antara mereka dalam sebuah komponen parti kerajaan hari ini.

Sebaliknya parti pembangkang pada hari ini kurang efisien dalam menyerang parti kerajaan disebabkan kurangnya isu yang dapat membingkaikan politik parti kerajaan. Ini amat penting bila tarikh keramat untuk PRU semakin menjadi bualan harian bukan sahaja pemimpin politik tetapi juga rakyat.

Pengajaran kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 sepatutnya dijadikan garis panduan bagaimana perlu menguruskan sesebuah parti agar tidak kelihatan seperti politik bingkai.

Jika pengajaran ini kurang memberikan impak besar, akhirnya akan menyebabkan politik BN ibarat politik durian terlebih masak. Politik durian terlebih masak akan menjauhkan pihak umum daripada mendekati parti BN walaupun sudah ada tanda-tanda positif persepsi pada BN.

Seperti durian terlebih masak, persepsi umum sentiasa melihat dengan rasa masam dan memualkan ke atas kepimpinan sedia ada BN. Ini memberikan tanda bahawa kepimpinan sedia ada hari ini perlu mengundur diri untuk membenarkan barisan pelapis menggantikan supaya politik durian yang masak sedap dilihat oleh persepsi umum.

UMNO yang masih mengepalai BN perlu menormalisasi situasi politik hari ini. Tindakan melawan arus politik hari ini perlu dihentikan sehingga tiba masa PRU-15. Pembingkaian ke atas jajaran baharu oleh kepimpinan UMNO hari ini perlu dimatikan jika tidak ingin dipersepsikan politik bingkai.

Bukan masanya untuk menerajui perubahan politik bumiputera, sebaliknya rawat diri dengan mengundurkan pemimpin-pemimpin bermasalah daripada menazakkan UMNO. Ini amat penting supaya kerjasama dalam kerajaan diterajui PN dapat memberikan manfaat kepada rakyat.

Dilema UMNO hari ini adalah untuk seia sekata sebagai satu pasukan bersama kepemimpinan kerajaan diterajui PN terutama berkaitan pentadbiran kerajaan. Komitmen UMNO amat penting bersama dengan kerajaan hari ini untuk melawan pandemik Covid-19.

Krisis yang melanda UMNO hari ini perlu dijernihkan semula agar tidak berulang kembali. Soal menaikkan mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri oleh mana-mana kepimpinan UMNO juga perlu dihentikan. Ini amat penting untuk tidak menampakkan UMNO adalah perancang utama dalam menjatuhkan kerajaan diterajui PN.

Ini adalah satu serangan politik pembingkaian untuk memperlihatkan UMNO sebagai parti yang rakus akan kuasa dan tidak mempedulikan nasib rakyat.

Gambaran-gambaran seperti ini sentiasa untuk mematikan kebangkitan semula UMNO dalam arus politik Melayu hari ini. UMNO juga tidak perlu mewarisi legasi politik veteran dalam menguruskan hala tuju politik tersebut.

Justeru, satu langkah baharu perlu dibuat semula untuk membingkaikan UMNO dalam gambaran baharu yang bersih daripada rasuah, gila kuasa dan sentiasa berbalah sesama sendiri.

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Komitmen UMNO lebih penting


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ismail Sabri boleh pangku jawatan Perdana Menteri

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker