Kenyataan Media Presiden UMNO
KENYATAAN MEDIA
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada hari Rabu 7 Julai 2021 bersamaan 27 Zulkaedah 1442 Hijrah secara atas talian telah membuat ketetapan seperti berikut:
1. Mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.
2. Mengambil maklum keputusan Biro Politik UMNO melalui kenyataan Presiden untuk memberikan tempoh 14 hari bagi Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen secepat mungkin. Hasil tekanan yang dilakukan UMNO inilah, akhirnya Kerajaan akur untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bakal diadakan selama lima hari bermula 26 Julai 2021.
3. Mesyuarat juga telah memperhalusi dan menimbangkan beberapa garis panduan utama yang ditetapkan oleh MKT pada 11 Mac 2020 tatkala UMNO memberikan sokongan Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin selaku Perdana Menteri. DUA PANDUAN utama adalah seperti berikut:
I. Kerajaan harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan.
II. Kerajaan harus segera menangani kelembapan ekonomi dan melakarkan pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19.
4. Walau bagaimanapun setelah diperhalusi, segala panduan utama yang digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin GAGAL dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan. Ternyata Kerajaan GAGAL dalam memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama seperti berikut:
I. Kegagalan Kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat. Ini termasuklah polisi-polisi yang tidak konsisten, perlaksanaan PKP yang separa masak dan berubah-rubah hingga rakyat dikurung secara sia-sia selama hampir 6 bulan tanpa pembelaan yang sewajarnya. Contohnya, ‘TOTAL LOCKDOWN’ yang separa masak hanya menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada lebih 5,768 korban hanya dalam tempoh 38 hari setelah PM mengumumkan ‘TOTAL LOCKDOWN’.
II. Kegagalan Kerajaan dengan menyalahgunakan Darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara UMNO yang sejak dari awal membantah keras proklamasi tersebut. Malah Ordinan Darurat yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat, dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban dengan isu-isu survival dan kelangsungan hidup.
III. Kegagalan Kerajaan untuk mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi.
IV. Kegagalan Kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori. Ini termasuklah tuntutan Moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir dan terpaksa melalui karenah birokrasi yang membebankan.
V. Kegagalan Kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri (Nota: Jumlah kes bunuh diri daripada Mac 2020 hingga Mei 2021 sebanyak 1,099 kes). Gerakan #BenderaPutih adalah satu contoh manifestasi kekecewaan dan protes rakyat terhadap kegagalan Kerajaan untuk menyantuni keperluan rakyat yang amat susah, tertekan dan terdesak ketika ini.
VI. Kegagalan Kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian Covid yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama.
VII. Kegagalan Kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Selaku parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap Kerajaan terhadap Institusi Raja.
5. Berpandukan 7 perkara di atas ternyata bahawa Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin GAGAL memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020, sebagai syarat meneruskan sokongan.
6. Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada 7 kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin selaku Perdana Menteri DITARIK BALIK dan DITAMATKAN serta merta.
7. Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
8. Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.
9. Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. Ini penting bagi membolehkan sebuah Kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang di-Pertuan Agong.
10. Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).
UMNO BERSAMA RAKYAT
AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
7 Julai 2021
Kenyataan Media Presiden UMNO
Baca Artikel Menarik :
- Puad kata Pelantikan TPM untuk ‘checkmate’ UMNO
- Terima kasih Zahid, Umno atas sokongan
- UMNO jangan sampai dipatuk ular dua kali
- Jangan minta bantuan berulang kali – Abby Abadi
- Buat apa nak minta maaf – Ds Vida
- Resepi dalca tulang tanpa santan
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.