Pelajar kelas peperiksaan kembali ke sekolah

Sebaran :

Pelajar kelas peperiksaan kembali ke sekolah

Pergerakan pelajar dan guru sekolah untuk kelas-kelas peperiksaan di bawah parameter Kawalan Pergerakan (Utama) antara aktiviti yang dibenarkan di lima negeri yang bera­lih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Tiga negeri itu terletak di Wilayah Pantai Timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala baki dua lagi di Wilayah Utara Semenanjung iaitu Perak dan Perlis.

Jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021) bagi lima negeri itu lebih 80,000 orang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi stan­dard (SOP) seperti fasa pertama dikekalkan dengan penambahan terhadap pengoperasi sekolah yang dibenarkan dibuka bagi menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka terhad kepada kelas-kelas pe­periksaan.

Menurutnya, ia tertakluk kepada ketetapan takwim Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi berserta penilaian risiko semasa.

“Bagi pelajar yang memerlukan rentas negeri dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya perlu mematuhi peraturan kuarantin yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini semalam.

Pelajar dan guru bagi kelas peperiksaan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis akan dibenarkan belajar secara bersemuka dalam Fasa Dua PPN yang bermula esok. – Gambar hiasan

Terdahulu Ismail Sabri me­ngumumkan Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Perak beralih ke Fasa Dua PPN selepas negeri berkenaan memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.

Nilai ambang diukur berdasarkan tiga indikator iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin pada 22 Jun lalu telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara supaya pelajar kelas peperiksaan dibenarkan kembali ke sekolah lebih awal daripada Fasa Ketiga PPN.

Menurutnya, bagi menyokong permohonan itu, pihaknya juga memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) supaya pemberian vaksin kepada guru dan pelajar kategori itu dapat dipercepatkan.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan MKN bilakah anak-anak kelas peperiksaan ini dapat kembali ke sekolah secara bersemuka. Urusan vaksinasi pula di bawah JKJAV, maka segala proses itu akan dilaksanakan oleh mereka.

KEDAI gunting rambut antara sektor yang dibenarkan dibuka di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua PPN.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, aktiviti rentas negeri bagi suami dan isteri jarak jauh juga dibenarkan bagi kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, jelasnya, aktiviti peruncitan meliputi operasi kedai buku dan alat tulis serta komputer dan telekomunikasi turut dibenarkan beroperasi di lima negeri berkenaan.

Tambahnya, aktiviti peruncitan di bawah sektor terbabit turut diperluas kepada barangan elektrik, kedai gunting rambut terhad kepada perkhidmatan gunting rambut asas sahaja dan kedai cuci kereta dengan masa operasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Dalam fasa dua juga, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi sehingga 11 pagi terhad kepada enam komoditi iaitu sayur, buah, barangan runcit, ayam proses, ikan dan daging,” katanya-KO

Pelajar kelas peperiksaan kembali ke sekolah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PPN: 5 negeri beralih ke fasa kedua

PKPD Selangor sebulan, 14 hari tak cukup


Sebaran :

Leave a Reply