PBS harap Azmin tewas kes saman pengundi

Sebaran :

PBS harap Azmin tewas kes saman pengundi

PBS harap Azmin tewas kes saman pengundi Gombak, kata Ongkili

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili berkata, parti itu menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Azmin Ali untuk membatalkan saman difailkan 10 pengundi di Gombak.

Katanya, parti itu juga berdoa agar keputusan perbicaraan yang akan bermula tahun depan itu akan memihak kepada pengundi Gombak yang memfailkan saman berkenaan.



“Keputusan itu menggambarkan bahawa keadilan akhirnya ditegakkan dan kita berdoa agar keputusan perbicaraan itu akan memihak kepada pengundi Gombak.

“Sejak penubuhan parti 36 tahun yang lalu, PBS tidak pernah berhenti bersuara menentang pengkhianatan yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat dengan melompat parti tanpa merujuk kepada pengundi mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akhir bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan oleh 10 pengundi Gombak terhadapnya atas tuduhan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen di kawasan beliau.

Perbicaraan akan bermula pada 7 hingga 10 Jun 2022 manakala pengurusan kes pada 22 April 2022.



Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, keputusan mahkamah tinggi itu dilihat sebagai pembuka jalan dan salah satu proses memulihkan martabat institusi Parlimen.

“Bukan hanya pemimpin yang dipilih, tetapi penjawat awam perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka, terutama keputusan dan impak yang wujud hasil dari kepercayaan yang diberikan oleh pengundi kita.

“Seperti yang diputuskan oleh mahkamah berkenaan kes tersebut, setiap wakil rakyat yang dipilih memiliki kewajipan fidusiari terhadap pengundi mereka. Kewajipan fidusiari ini berdasarkan kepercayaan dan ianya seharusnya diperoleh, bukan dipinjam, dibeli atau ditukar,” katanya.

Beliau berkata, rakyat akan menyokong keputusan mahkamah tinggi berkenaan kerana ia akan menetapkan standard baharu dalam tingkah laku wakil rakyat dan kualiti perkhidmatan mereka.



Katanya, kualiti seseorang wakil rakyat akan kelihatan melalui amalan prinsip dan legasi politik yang mantap.

“Dalam ucapan sulung saya di Parlimen pada bulan Jun 1995, ianya tertumpu kepada kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994, selepas hanya lima minggu berkuasa, disebabkan oleh politik ‘katak’.

“Ia memang peristiwa politik yang dahsyat bagi Sabah apabila sebuah kerajaan yang terpilih ditumbangkan disebabkan amalan politik yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat yang dipilih dan dilantik,” katanya.

Ongkili berkata, sehingga kini parti itu masih berpendapat hanya Parlimen yang mampu mengharamkan perbuatan seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri terpilih untuk melompat parti tanpa kembali kepada pengundi menerusi pilihan raya kecil (PRK).

Katanya, perkara itu perlu dilaksanakan demi mengembalikan martabat Parlimen atau Dewan dan meningkatkan taraf Parlimen Malaysia.

“Malangnya, amalan melompat parti masih berlaku sehingga hari ini dan saya tabik hormat kepada keputusan mahkamah tinggi, amalan lompat parti adalah tidak adil, dan tidak dapat dimaafkan.

“PBS berharap keputusan ini dapat menghentikan amalan politik katak di Parlimen dan DUN pada masa akan datang,” katanya. FMT

PBS harap Azmin tewas kes saman pengundi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Rina dikritik kerana politikkan bakul makanan


Sebaran :

Leave a Reply