Ringgit ditutup rendah berbanding Dolar AS



RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan kebimbangan membabitkan penularan varian Delta Covid-19 yang mudah dijangkiti di negara-negara Asia, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.1600/1650 berbanding dolar AS daripada paras 4.1575/1600, sebelum ini.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, prestasi ringgit turut dipengaruhi oleh faktor seperti langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebahagian besar kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur selain perkembangan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“PKPD itu meliputi syarat lebih ketat iaitu hanya kilang-kilang yang mengeluarkan bahan makanan dan keperluan asas dibenarkan beroperasi.

“Selain itu, mesyuarat OPEC pada Khamis pula terpaksa dilanjutkan apabila Emiriah Arab Bersatu tidak bersetuju dengan laporan persetujuan awal mengenai peningkatan pengeluaran berjumlah 500,000 tong sehari,” katanya kepada Bernama.




Menurut Adam, keadaan itu mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran minyak yang turut memberi kesan ke atas ringgit berikutan kaitannya dengan minyak mentah Brent.

Setakat petang Jumaat, harga Brent yang juga penanda aras global, susut sebanyak 0.09 peratus kepada AS$75.77 setong.

Selain itu, pada akhir urus niaga hari ini, ringgit mengukuh berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen.

Ringgit naik berbanding pound Britain ke paras 5.7188/7256 daripada 5.7257/7292 pada akhir urus niaga Khamis dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9171/9230 daripada 4.9271/9300 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0778/0818 daripada 3.0869/0890 pada Khamis, namun susut berbanding yen kepada 3.7303/7351 daripada paras 3.7280/7303, sebelum ini.




Ringgit ditutup rendah berbanding Dolar AS


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bantu M40, tanpa mereka ekonomi takkan pulih

 



Leave a Reply

Your email address will not be published.