Kumpul Pahala Nyawa Kedua – Hishamudin

Kumpul Pahala Nyawa Kedua – Hishamudin

Port Dickson: Diberi peluang kedua untuk hidup selepas diserang sakit jantung mendorong bapa sembilan anak, Hishamudin Abd Manap aktif sebagai sukarelawan di bawah pertubuhan kebajikan My Kasih Care sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Hishamudin, 51 dari Kampung Paya di sini, berkata, keinginan menjadi sukarelawan juga tercetus selepas melihat keprihatinan My Kasih Care dan banyak pihak terhadap keluarganya sepanjang menerima rawatan di wad Hospital Port Dickson akibat serangan jantung sejak akhir Disember 2019 hingga Januari tahun lalu.

Katanya, jika keluarganya dibantu, individu lain juga berhak mendapat pertolongan sama. Justeru, dia menawarkan diri menjadi sukarelawan kerana melihatnya peluang baik untuk berbakti kepada masyarakat khususnya golongan asnaf.

“Saya mengalami serangan jantung pada 22 Disember 2019 ketika berada di rumah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.

“Ketika dalam ambulans, saya rasa seperti ajal hampir tiba namun bersyukur kerana Allah izin saya terus hidup sehingga kini.

“Lebih mengharukan apabila kebajikan isteri (Norizawati Isa, 40) yang hanya suri rumah dan anak tidak diabaikan, malah mereka berterusan menerima bantuan daripada My Kasih Care serta pihak lain sepanjang dua minggu saya dirawat di hospital,” katanya.

 

HISHAMUDIN ketika menyampaikan bantuan kepada penerima. FOTO Ihsan Hishamudin Abd Manap
HISHAMUDIN ketika menyampaikan bantuan kepada penerima. FOTO Ihsan Hishamudin Abd Manap

Menurut Hishamudin, aktiviti sebagai sukarelawan lazimnya dilakukan pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad.

Katanya, dia tidak berseorangan kerana adakalanya ditemani dua anaknya iaitu Muhammad Nur Haris, 14, dan Muhammad Nur Haikal, 13 sebelum PKP.

“Pada permulaan, saya hanya hantar bantuan dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal kerana hanya itu kenderaan yang ada sebelum ini.

“Kemudian, saya beli kereta untuk hantar bantuan dan kini bergerak menggunakan van sejak Mac lalu.

“Syukur kerana Allah beri rezeki lebih untuk membeli van itu untuk memudahkan saya membawa lebih banyak barangan bantuan ke rumah penerima,” katanya yang bekerja sebagai Penyelia Pusat Pemuliharaan Penyu, Glory Beach Resort, di sini.

 

HISHAMUDIN bersama aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (kiri). FOTO Ihsan Hishamudin Abd Manap
HISHAMUDIN bersama aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (kiri). FOTO Ihsan Hishamudin Abd Manap

Hishamudin berkata, walaupun tidak menyumbang wang ringgit namun dia puas kerana dapat mencurah keringat dalam kerja khidmat masyarakat.

Hishamudin gembira setiap kali melihat reaksi penerima selepas mendapat bantuan dan berterima kasih kepada Pengerusi My Kasih Care, Syed Shukri Nizam Jaafar kerana memberinya peluang sebagai sukarelawan.

“Saya seronok setiap kali menyampaikan bantuan terutama apabila melihat kegembiraan terpancar pada wajah penerima.

“Saya pernah pernah melalui fasa sukar dalam hidup jadi mengerti perasaan mereka yang berasa besar nikmat sekalipun hanya menerima RM10.

“Kepuasan itu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus menjadi sukarelawan, malah saya sudah tubuhkan pasukan sendiri diberi nama PD Adventure yang buat masa ini giat membantu 280 keluarga di Taman Selasih, Port Dickson,” katanya yang belum pulih sepenuhnya daripada penyakit jantung.-HM

Kumpul Pahala Nyawa Kedua – Hishamudin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Dulu Check Boarding Pass, Sekarang Check MySejahtera” [VIDEO]

Jadi anggota RELA secara tiba-tiba, kemudian digugurkan pun secara tiba-tiba

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker