Polis kena herdik dengan wanita di SJR


Polis kena herdik dengan wanita di SJR

KOTA KINABALU: Polis menyiasat kejadian melibatkan seorang wanita yang dirakam mengherdik polis di satu sekatan jalan raya (SJR) di sini.

Dalam video yang tular itu wanita tersebut yang dipercayai seorang usahawan dilihat memarahi beberapa anggota polis trafik di SJR di Kepayan.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 1 Jun.

Wanita itu dilaporkan berang kerana terpaksa menunggu 30 minit sebelum dimaklumkan kesalahan dilakukannya, iaitu cukai jalan dan insurans kenderaannya tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

Anggota polis terlibat juga dikatakan telah menyindir wanita itu.

Ketua Polis Sabah Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil wanita itu untuk merakamkan percakapannya dan menambah bahawa timbalan pendakwa raya telah menasihatkan polis supaya membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kami akan menyiasat kes ini dari kedua-dua sudut, bukan setakat sebelah pihak. Saya tidak akan membuat sebarang andaian,” katanya ketika dihubungi.

“Jika anggota saya mengeluarkan kata-kata tidak elok, saya akan mengambil tindakan terhadap mereka. Jika wanita itu mencetuskan pertengkaran maka kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.”

Disoal mengapa polis mendendanya kerana cukai jalan tamat tempoh sedangkan orang ramai tidak dapat memperbaharui dokumen itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), Hazani menjelaskan cukai jalan wanita itu luput sejak Januari lalu.

“Sudah berapa PKP telah kita lalui? Sudah dua kali ditamatkan, jadi logik atau tidak (tidak dapat memperbaharui cukai jalan)?

“Sekalipun cukai jalan telah tamat tempoh, insurans keretanya patut diperbaharui,” katanya.

Selepas video itu tular, warganet berbelah bagi mengenai tindakan kedua-dua pihak.

Pada satu ketika dalam video itu, seorang anggota polis dilihat cuba menenangkan wanita itu dengan berkata mereka hanya menjalankan tugas.

Namun wanita itu berkeras mengatakan dia juga mahu melakukan tugasnya.

Wanita itu kemudian didengar berkata bahawa dia dalam perjalanan untuk menghantar bantuan kepada golongan susah.

Wanita itu turut dilihat “menyekolahkan” seorang anggota berkenaan mengenai adab bercakap dengan perempuan.

Sebelum masuk semula ke keretanya untuk meninggalkan SJR itu, wanita berkenaan didengar menjerit “biadap” terhadap anggota polis terbabit. FMT

Polis kena herdik dengan wanita di SJR


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Semua orang faham maksud Raja-raja Melayu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker