SUHAKAM kaji iktiraf trangender, jangan main dengan api


SUHAKAM kaji kebolehlaksanaan undang-undang iktiraf transgender; jangan main dengan api, kata warganet

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhasrat menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan (research on feasibility) undang-undang khusus di Malaysia bagi mengiktiraf golongan transgender.

Tindakan itu mengundang kecaman warganet dan PAS yang rata-rata menyifatkan ia tidak sesuai untuk Malaysia dan ada yang mahukan SUHAKAM berhenti “bermain dengan api”.

Di laman webnya, SUHAKAM mengiklankan kekosongan jawatan penyelidik “bagi menjalankan penyelidikan mengenai kebolehlaksanaan (feasibility) perundangan mengenai pengiktirafan gender ketiga di Malaysia”.



Dalam terma rujukan jawatan itu SUHAKAM berkata, pengiktirafan sah jantina di sisi undang-undang amat penting untuk memastikan golongan transgender mampu “maju dan hidup bermaruah serta menikmati semua hak asasi manusia”.

Menurut badan itu, pengiktirafan sah jantina semua orang tanpa mengira agama menjadi semakin rumit dengan adanya beberapa fatwa mengisytiharkan “golongan trans adalah haram pada 80an sungguhpun tidak semua fatwa itu diwartakan”.

Menurut SUHAKAM, golongan transgender di Malaysia dikenakan pelbagai tindakan berbentuk diskriminasi kerana tidak ada pengiktirafan rasmi ke atas jantina ketiga.

Antara lain mereka tidak boleh menukar nama atau jantina pada dokumen pengenalan diri dan rekod pentadbiran selain yang tertera semasa dilahirkan.



SUHAKAM berkata, keadaan itu boleh memberi kesan negatif ke atas akses kepada pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perumahan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Penstigmaan oleh masyarakat lazimnya membawa kepada diskriminasi dan pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka (transgender). Justeru SUHAKAM ingin menjalankan kajian mendalam mengenai kebolehlaksanaan mengadakan perundangan mengiktiraf (jantina ketiga) di Malaysia,” menurut SUHAKAM.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor Mohd Fuad Mohd Salleh adalah antara pihak yang lantang menyelar kajian SUHAKAM itu.

Beliau berkata, kajian “Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia” adalah percubaan ke arah mengiktiraf “perbuatan” transgender di Malaysia.



“SUHAKAM seperti sudah hilang arah tuju dan ini adalah amat malang dalam suasana negara yang sedang dilanda wabak Covid-19 yang seperti mahu mengundang bala Allah,” beliau dipetik berkata oleh Harakah.

Beliau berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan dapat mengkaji tindakan sewajarnya untuk “membendung kesesatan itu dengan kadar segera”.

Di laman SUHAKAM, warganet Nawzdir Miharbi berkata, SUHAKAM “bermain dengan api” dan “setiap rakyat Malaysia akan bangkit menentang tindakan (kajian) itu dengan sekeras-kerasnya”.

Fikri Kasmani berkata, negara “tidak perlu mengikut acuan Barat dan NGO yang mahu menjadikan golongan transgender sah di sisi undang-undang”.



FMT sedang menghubungi SUHAKAM untuk mendapatkan respons. FMT


Layari Laman Facebook MYKMU NET


‘Tiada ruang untuk golongan transgender buat maksiat’



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker