Malaysia Perlu Bijak Rebut Peluang Ekonomi Pasca COVID-19

Malaysia Perlu Bijak Rebut Peluang Ekonomi Pasca COVID-19
Malaysia Perlu Bijak Rebut Peluang Ekonomi Pasca COVID-19
Saudara Pengarang,
Semestinya pandemik COVID-19 menuntut Kerajaan untuk memberi fokus dan prioriti perbelanjaan kepada pengurusan pandemik termasuk memastikan kebajikan rakyat terbela dan ekonomi dapat diperkukuhkan daripada merudum teruk.
Setiap kali berlaku “lockdown”, impak penutupan ekonomi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut unjuran Kementerian Kewangan adalah besar – sehingga RM 2.4 billion sehari. Bayangkan, betapa besarnya impak pemanjangan “total lockdown” selama dua minggu lagi, bersambung dari dua minggu sebelum ini!
Namun demikian, kita juga perlu ingat, ini bukan situasi 6 bulan yang lalu. Kadar vaksinasi sudah meningkat dan jika melihat kepada negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang melakukan inokulasi yang agresif, kita sudah melihat sinar harapan untuk negara kembali pulih dan aktiviti ekonomi dibuka semula dengan lebih giat. Lebih ramai yang divaksinasi, lebih cepat imuniti berkelompok dapat dicapai, lebih cepat kita dapat kembali ke normal.
Sebenarnya, walaupun berdepan pandemik, Malaysia masih mampu menjana pelaburan yang memberangsangkan sepanjang tahun 2021. Pada suku pertama 2021 sahaja, jumlah pelaburan yang diluluskan kerajaan adalah RM80.6 billion, 95.6 peratus lebih tinggi dari suku yang sama pada tahun 2020. Beberapa hari lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaburan RM8.5 billion syarikat Austria, AT&S baru-baru ini yang merupakan pemain besar dunia dalam bidang teknologi elektronik – untuk membina kilang pertamanya di Asia Tenggara. Khabarnya kita telah berjaya “merampas” pelaburan ini daripada Vietnam!

Walaupun terdapat petunjuk-petunjuk yang memberangsangkan untuk sektor ekonomi kita, apa yang lebih penting lagi ialah kerajaan perlu bijak mengambil peluang untuk berfikir tentang ekonomi pasca Covid-19, terutamanya dalam menaiktaraf infrastruktur awam termasuk untuk sektor pengangkutan. Kerajaan perlu membuat pilihan yang bijak dengan sumber yang terhad untuk memastikan ekonomi terus berkembang dan kualiti hidup rakyat dipertingkatkan.

Infrastruktur untuk sektor pengangkutan merupakan salah satu sektor ekonomi yang wajar diberi tumpuan pasca Covid-19. Ini kerana, perbelanjaan infrastruktur ini bukan sahaja dapat meningkatkan perhubungan atau “connectivity” tetapi dari segi ekonomi ia mampu menghidupkan rantaian bekalan yang besar dengan cepat dan mampu membawa kesan pengganda ekonomi (multiplier effect) yang berimpak tinggi.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, dalam Belanjawan 2021 sebanyak RM15 billion diperuntukkan kepada projek infrastruktur pengangkutan negara. Ini hanya lebih kurang 5 peratus dari keseluruhan Belanjawan dan sudah tentu tidak mencukupi!
Sebagai seorang yang dilatih dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek, saya berpendapat kerajaan perlu berani untuk membuat keputusan yang radikal dalam menghidupkan projek-projek infrastruktur berskala besar dan ikonik seperti keretapi berkelajuan tinggi atau High Speed Rail (HSR).
Walaupun kita sudah tidak lagi bersama sama Singapura dalam projek ini, ini tidak bermakna projek ini tidak boleh dijalankan untuk laluan dalam negara. Bukan sahaja dari segi nilai pengganda ekonomi, bayangkan betapa banyak kawasan-kawasan yang akan dapat dibangunkan sepanjang aliran projek seperti HSR.

Walaupun ada suara sinis yang menyoal adakah penumpang pasca COVID-19 akan naik keretapi HSR nanti – namun saya percaya dengan adanya HSR ini, penawaran akan dengan sendiri menjana permintaan. Lagipun, sesudah pandemik, lebih ramai yang “teringin” ke sana ke sini, melepaskan kemaruk akibat terperuk di rumah? Apatah lagi kalau perjalanan itu lebih pantas dan selamat.

Kerajaan perlu bijak menghitung kos dan keuntungan yang kita bakal perolehi bukan sahaja dari segi wang dan ringgit semata mata tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi dan sosio ekonomi masyarakat. Pada hemat saya, apa yang penting kita berbelanja ikut kemampuan dan ikut keinginan kita sendiri, demi kepentingan Malaysia. Jangan ikut rentak sesiapa, kita lakukan dengan cara kita. Banyak sahaja projek besar yang kita mampu lakukan tanpa penglibatan orang asing.
Projek projek infrastruktur pengangkutan seperti HSR ini besar manfaatnya kepada negara dan mampu untuk “jump-start” ekonomi negara pasca Covid-19. Namun demikian, ini tidak bemakna kerajaan mengabaikan sektor sektor lain yang turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Lihatlah di banyak negara di seluruh dunia, strategi membangun projek-projek infrastruktur berskala besar yang digunapakai untuk merancakkan ekonomi ketika kemelesetan – baik dari Amerika Syarikat ke Jepun dan China, dari pasca Perang Dunia Kedua sehingga krisis ekonomi global 2009. Dari lebuhraya, ke keretapi dan lapangan terbang – projek projek membangunkan infrastraktur pengangkutan awam menjadi sandaran – dan ia terbukti dapat membantu memulihkan ekonomi dan pada masa yang sama, ia membantu mempercepat penyediaan kemudahan yang diperlukan rakyat, Akhirnya, ekonomi rancak, rakyat dipermudah, kerajaan juga yang untung akhirnya.

Lebih dekat dengan kita – di Indonesia dan Thailand sudah jauh lebih ke hadapan berbanding Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan awam yang bersepadu. Malahan projek keretapi laju Jakarta-Bandung sudah lebih 70 peratus siap, dan menurut Presiden Joko Widodo, projek ikonik pengangkutan moden Pulau Jawa ini bakal beroperasi pada tahun 2022. Maka tidak hairanlah Indonesia menjadi “anak emas” Asia Tenggara dalam menarik pelaburan asing beberapa tahun kebelakangan ini.
Strategi membangunkan sistem pengangkutan awam terbukti berkali kali sebagai strategi berjaya dan pantas dalam merangsang ekonomi yang meleset di merata dunia. Kerajaan perlu bijak merebut peluang ekonomi pasca Covid-19 dan melabur dengan bijak dalam menjana masa hadapan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia. Bertindak dengan cepat, supaya Malaysia terus kompetitif di mata pelabur dan komuniti perniagaan.

Ir. Haji M.A Latiff, Johor Baru

*Ir Haji M.A  Latiff merupakan mantan jururunding projek pembinaan yang gemar membaca.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker