Tren LRT: Masalah teknikal, kegagalan komunikasi punca nahas
Masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan pemandu (hostler), adalah antara punca berlakunya pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lepas, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata, dapatan itu terkandung dalam laporan Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden nahas dua tren LRT antara stesen Kampung Baru dan KLCC itu yang dibentangkan kepada Kabinet semalam.
Berkongsi laporan itu dalam sidang media secara maya hari ini, Wee berkata, insiden itu melibatkan pertembungan tren bernombor 40 tanpa penumpang yang menghadapi masalah teknikal dan tren 81 dengan 213 penumpang yang melakukan perjalanan tanpa mendapat pengesahan tepat.
Menghuraikan urutan insiden itu, Wee berkata, tren 40 mengalami masalah teknikal pada jam 6.26 petang pada hari kejadian (24 Mei) melibatkan salah satu daripada dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC).
Menurutnya, apabila satu VOBC gagal berfungsi dan hilang komunikasi dengan OCC maka tren perlu dikosongkan di stesen berikutnya serta dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan di depoh Lembah Subang menerusi kawalan automatik iaitu Automatic Train Operation (ATO) ketika VOBC kedua masih berfungsi.
Namun, VOBC kedua tren 40 itu juga gagal berfungsi pada jam 8.13 malam ketika dalam perjalanan ke Lembah Subang dan terkandas di antara stesen LRT KLCC dan Kampung Baru.
“OCC tidak dapat mengawal tren 40 apabila kedua-dua VOBC tidak berfungsi. Justeru, pemandu diarahkan untuk mengendalikan tren 40 secara manual ke stesen berdekatan iaitu Dang Wangi bagi tujuan ‘reset’ untuk berada dalam mod ATO,” katanya.
Menurut Wee, siasatan mendapati ketika proses pemindahan tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, kedua-dua pemandu dan pengawal OCC telah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) kritikal tertentu, dan ini secara tidak sengaja mengakibatkan tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak di arah utara dan bukannya ke selatan menuju ke depoh.
Pada masa sama, katanya, tren 81 sedang ditahan di stesen KLCC dan meletakkan keadaan status Manual Route Reservation (MRR) iaitu perlindungan kepada tren 40 sebelum dapat dikendalikan secara ATO.
“Namun, tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan tren 40 telah diset semula kepada ATO. Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara tren 40 dan tren 81,” katanya.
Wee berkata, tindakan pemandu itu adalah tidak disengajakan kerana pada ketika itu maklumat mengenai ‘track section number’ tidak mencukupi, di mana pelaporan secara berkala dengan OCC sepatutnya berlaku.
Wee menegaskan objektif siasatan adalah untuk menentukan keadaan dan punca sebenar nahas dengan tujuan mengelakkan insiden daripada berulang serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam dan bukan bertujuan membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, yang mengetuai Jawatankuasa Siasatan itu berkata, hasil siasatan mendapati penyelenggaraan dijalankan oleh Prasarana adalah teratur dan mengikut manual.
Katanya, tiada sebarang percanggahan dan anomali dalam penyelenggaraan tren namun SOP itu tidak diikuti sepenuhnya kerana perlu ada senarai semak bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku.
“Kegagalan VOBC tidak berlaku setiap hari, ia jarang berlaku. Tetapi apabila ia berlaku, mesti ada SOP di mana semua orang faham dan ikut cara mengendalikan kereta api secara manual,” katanya. – Bernama
Tren LRT: Masalah teknikal, kegagalan komunikasi punca nahas
Baca Artikel Menarik :
- ‘Dihukum’ Penduduk Kampung, Bekas Pesakit Covid-19 Mohon Ampun
- Mona Allen terima mesej ‘gila’
- Resepi Pulut Durian Siam Santan Meleleh
- Resepi Siakap Goreng Sos Plum sedap sekali
- Sindir Pas, Parti Sains serah permohonan kepada ROS
- Zambry perlu wujudkan rasa muhibah parti dalam BN – Penganalisis
Layari Laman Facebook MYKMU NET
Panas!!! Siapa Penyanyi Remaja Gemar Berbogel Secara Terbuka Yang Didedahkan Oleh Netizen??