Lantik Naib Canselor dalam kalangan warga UPM



Sebaran :

Lantik Naib Canselor dalam kalangan warga UPM

Lantik Naib Canselor dalam kalangan warga UPM

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Am, Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melantik Naib Canselor baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kosong sejak Februari 2021 lalu dengan kadar segera.

Kekosongan Naib Canselor UPM telah banyak menjejaskan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan universiti itu kerana terdapat banyak kekangan dan kesulitan untuk membuat keputusan-keputusan kritikal khususnya membabitkan kepentingan dan dasar universiti.



Walaupun KPT telah melantik Timbalan Naib Canselor UPM untuk menjalankan fungsi Naib Canselor, namun beliau tidak boleh membuat keputusan-keputusan kritikal.

Sehubungan itu, KEPERTAMA memohon komitmen tinggi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, untuk menyelesaikan isu Naib Canselor UPM sebelum ini yang diarahkan bercuti sejak Februari lalu kerana mempunyai masalah dan segera melantik Naib Canselor UPM baharu.

Presidennya, Mohd Razali Singah berkata, KEPERTAMA menaruh harapan tinggi agar pemilihan Naib Canselor UPM yang baharu perlulah terdiri daripada calon staf UPM yang berkaliber, berintegriti dan berwawasan.



”KPT dicadangkan melantik Naib Canselor UPM yang terdiri daripada salah seorang staf UPM yang dikenali majoriti warga UPM sebagai amat berkemampuan, mempunyai ciri-ciri sahsiah dan keperibadian yang baik serta mempunyai visi yang mampu membawa UPM ke hala tuju terbaik negara.

”KEPERTAMA juga berharap KPT mempertimbangkan calon UPM yang diketahui majoriti pihak dalaman UPM mempunyai merit berbanding dengan pelantikan sebelum ini tidak berdasarkan merit dan hanya mendengar pandangan terpencil satu pihak saja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketiadaan Naib Canselor dalam tempoh yang agak lama telah mewujudkan suasana yang kurang kondusif buat semua warga kampus dan turut membuka ruang kepada pelbagai pihak yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh.

KEPERTAMA mengulas saranan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Nordin semalam mengenai kewajaran KPT melantik dengan kadar yang segera lima Naib Canselor Universiti Awam (UA) yang kosong sejak awal tahun ini iaitu UPM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).



”KPT sedia maklum mengenai visi dan misi UPM serta tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh KPT kepada UPM khususnya dalam konteks pemerkasaan sektor pertanian.

”UPM bukan sahaja perlu menjadi juara sektor pertanian dalam negara tetapi berperanan untuk memberi sumbangan bermakna kepada segenap lapisan masyarakat dunia.

”Namun persoalannya adakah UPM mampu untuk mencapai hala tuju dan menjayakan pelan strategi yang telah digariskan tanpa seorang yang bergelar Naib Canselor dalam tempoh yang telah menghampiri 5 bulan?,” katanya yang turut menzahirkan rasa khuatir KEPERTAMA mengenai beberapa isu tertangguh dan dilihat kurang sempurna pelaksanaannya khususnya yang berkaitan dengan kebajikan ahli-ahlinya. MG



Lantik Naib Canselor dalam kalangan warga UPM


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Graduan PhD tidak diiktiraf, Ini maklumbalas UPM


Sebaran :


Leave a Reply