Zaid akui tidak disenangi segelintir ahli UMNO kerana pertahankan Najib

Zaid akui tidak disenangi segelintir ahli UMNO kerana pertahankan Najib

Bekas pemimpin UMNO, Datuk Zaid Ibrahim tidak kisah digelar ‘Raja Petra Kamaruddin II’ oleh segelintir ahli parti itu, kerana mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tulisan beliau.

Katanya, sikap mereka menyalahkan bekas Presiden UMNO itu dalam isu sumbangan 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion oleh Raja Arab Saudi, seolah Najib sudah bersalah dan dijatuhkan hukuman.

“Minggu lalu saya menulis dalam blog saya, sebuah artikel yang ditujukan kepada ahli UMNO. Saya kata, mereka tidak boleh menilai (menjatuhkan hukum) terlalu keras terhadap Najib.

“Dia sedang melalui proses perundangan dan belum lagi selesai. Pada masa sama, saya percaya RM2.6 bilion itu pemberian sumbangan Raja Arab Saudi kepadanya. Dengan itu, pada saya, Najib menjadi mangsa konspirasi politik,” katanya di sini, hari ini.

Disebabkan pandangan itu, katanya, beliau menerima banyak teguran dan kritikan, terutama dari ahli UMNO sehingga mereka menyamakan dirinya dengan blogger Raja Petra Kamaruddin.

Katanya, beliau tidak mengambil berat teguran itu kerana sudah kalih dengan kritikan dan serangan peribadi oleh ahli UMNO ketika berada dalam parti itu tidak lama dahulu.

Bagaimanapun, ujarnya, ini bukan pertama kali beliau menulis dan mengupas isu yang dianggap tidak popular itu, tetapi akan terus memberi pandangan atas apa yang dipercayainya untuk tatapan dan fahaman orang ramai.

Beliau memberi contoh, isu yang ditentangnya berkaitan undang-undang hudud di Kelantan.

“Saya dilihat melawan kes hudud Kelantan kerana saya percaya ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ramai mengatakan saya sudah murtad kerana mengambil tindakan itu.

“Begitu juga pada tahun 1990-an, saya dilabelkan sebagai pengkhianat kerana bercakap mengenai keperluan untuk menghapuskan “kekebalan” Raja-Raja Melayu, dan banyak lagi serangan ke atas saya termasuk cadangan supaya MARA mengambil orang bukan Melayu ke UiTM.

“Apa yang saya hadapi dengan cadangan dan kritikan itu? Saya diboikot dan disisihkan oleh agensi ini sehingga hari ini, sehinggalah saya dilihat anti Melayu,” katanya.

Mengenai sokongannya kepada DAP, Zaid yang merupakan bekas Pengerusi parti itu di Kelantan sehingga April tahun lalu berkata, beliau mempertahankannya kerana percaya parti itu mempunyai beberapa pemimpin yang boleh mentadbir urus dengan baik.

Berikutan itu, katanya, walaupun telah meletakkan jawatan dari parti itu, sehingga kini beliau masih dilabelkan sebagai “boneka DAP”.

“Saya tidak bangga menjadi penipu. Satu-satunya perkara yang dapat saya terjemahkan sifat saya ialah memberi pandangan mengenai perkara yang ada kepentingan awam, jujur ​​dan benar.

“Mungkin ianya salah, tetapi ketahuilah pandangan saya ini adalah jujur dan bukan dibuat-buat. Mungkin kerana ini juga, banyak portal berita dan blogger menyiarkannya secara berkala.

“Saya tidak pernah menerima bayaran dari mereka dan saya juga tidak berkongsi agenda atau kepercayaan politik mereka. Perkara kecil yang saya miliki adalah harga diri. Itu yang penting,” katanya.
MG

Zaid akui tidak disenangi segelintir ahli UMNO kerana pertahankan Najib


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Dana 1MDB: Kenapa kerajaan membisu mengenai Zeti, SD, tanya Zaid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker