“Tuhan jika Engkau wujud, selamatkan anakku!”

“Tuhan jika Engkau wujud, selamatkan anakku!”

“Tuhan jika Engkau wujud, selamatkan anakku!”

Dalam kedinginan musim salju akhir tahun 1990, anak kedua Dr. Laurance Brown telah dilahirkan. Saat itu, air mata kegembiraan pasangan itu laju mengalir tatkala suara nyaring tangisan bayinya bergema kuat disegenap ruang wad bersalin.

Namun, senyuman itu hanya seketika. Bayi perempuannya disahkan menghidap komplikasi salur darah sempit yang menyebabkan kesukaran pengaliran darah. Lantas, bayi kecil itu segera dihantar ke unit rawatan rapi untuk rujukan pakar.

Sekali lagi, saat yang mencemaskan berlaku. Bayi yang belum kenal erti kesakitan itu tiba-tiba berubah menjadi biru akibat komplikasi tersebut. Jelas di ingatannya bagaimana sukarnya anak kecil itu mencari nafas.

Tercungap-cungap. Semua itu berlaku di hadapan mata Dr. Laurance Brown sendiri. Cukup perit untuk ditanggung apatah lagi dia tidak boleh memberitahu isterinya. Bimbang keadaan lebih teruk terjadi.

Sebagai pakar bedah, Dr. Laurance Brown sedar risiko yang bakal diterima sekiranya rawatan diteruskan. Namun, mana mungkin dibiarkan anak keduanya itu pergi meninggalkan keluarga sedang penantian selama sembilan bulan ditempuhi penuh sabar.

Tidak mungkin. Apa lagi yang harus dilakukan selain membiarkan saja bayi kecilnya diambil darah, disuntik berkali-kali dan dirobek dadanya demi nyawa yang tiada bandingan. Hanya itu peluang untuk anaknya meneruskan hidup.

Ketika pakar runding bedah mengendalikan rawatan ke atas tubuh kecil itu, keadaan Dr. Brown bercampur-baur. Tidak keruan, risau dan macam-macam. Perasaannya berkecamuk. Dalam kerisauan itu, Dr. Brown melangkah longlai ke bilik sembahyang di hospital tersebut.

Sambil merapatkan kaki dan kedua-dua tangan di bawah dagu, Dr. Laurance Brown terus berdoa..berdoa..dan berdoa. Seingatnya, itulah kali pertama dia ‘sembahyang’ dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh sepanjang hayatnya.

Keajaiban Tuhan

Sebagai seorang ateis, perasaan percaya itu tidaklah 100 peratus. Dalam hatinya tetap timbul sedikit keraguan. Pun begitu, dia tetap berdoa agar anaknya kembali sihat. Dalam doanya, dia berjanji sekiranya Tuhan mengembalikan kesihatan bayinya, dia akan mengabadikan diri kepada ajaran itu.

Lebih kurang 15 minit kemudian, Dr. Laurance Brown kembali ke bilik rawatan. Terkejut dia apabila pakar memberitahu bayinya bebas dari sebarang komplikasi. Dr. Brown tidak percaya sehingga anaknya disahkan benar-benar normal.

Selang beberapa lama, kesihatan anaknya Hannah Brown tidak lagi menjadi kerisauan. Maka, tibalah masa untuk dia mengotakan janjinya. Dia yakin, bahawa bukan doktor yang memulihkan anaknya tetapi Tuhan.

Keyakinan itu yang menguatkan perasaannya untuk mencari siapa Tuhan yang sebenar. Dia akui, sebagai seorang yang tidak percaya kepada mana-mana agama memang agak mudah untuk masuk dan memahami agama lain tanpa banyak soal.

Dalam tempoh beberapa tahun, Dr. Brown berusaha memenuhi perjanjiannya untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. Namun, dia rasakan seperti gagal dengan cara-cara tersebut.

Pada mulanya, dia memilih untuk mengkaji dan mendalami agama Yahudi. Bertahun lamanya dia mengkaji agama itu. Apabila banyak persoalan mula timbul di benak, dia kemudian beralih ke agama Kristian. Namun, dia tidaklah menganut agama itu. Cukup hanya mencari kebenaran sebelum menemui sesuatu yang dicarinya.

Ada kalanya dia berkunjung ke gereja di kawasan tempat tinggalnya. Pernah juga dia menyertai kumpulan Roman Katolik dan pelbagai lagi. Walaupun banyak cara yang dicuba, dia tetap tidak menemui kebenaran.

Alasannya hanya satu, terlalu banyak percanggahan tentang Nabi Isa dalam mazhab-mazhab yang terdapat dalam ajaran Kristian. Itu benar-benar membuatkan dia ragu. Akhirnya, dia memilih untuk membaca sahaja di rumah.

Yakin kewujudan Allah

Suatu hari setelah pelbagai pencarian dilakukan, tergerak di hatinya untuk membaca terjemahan naskhah al-Quran dan biografi Nabi Muhammad s.a.w menerusi sebuah buku bertajuk ‘Muhammad, His Life Based on Earliest Sources’ karya Martin Lings.

“Tuhan jika Engkau wujud, selamatkan anakku!”
Al-Quran adalah kalamullah yang mampu melembutkan hati manusia

Ia cukup berbeza. Tidak seperti kitab-kitab agama yang dikaji selama ini. Al-Quran baginya cukup unik.

Dan melalui pembacaan terjemahan kitab suci umat Islam itu, dia mula tahu Tuhan itu satu. Lebih menarik perhatiannya apabila al-Quran turut menjelaskan bahawa para nabi seperti Musa dan Isa juga diajar tentang keesaan Allah. Dia mula sedar, konsep itu jauh bezanya dengan apa yang dipelajari dalam agama Yahudi dan Kristian.

Dr. Brown terus membaca. Dan dia mulai merasa sesuatu yang aneh telah berlaku dalam dirinya. Perasaan ragu-ragunya hilang entah ke mana. Dia mula percaya dengan apa yang dikajinya.

Kesinambungan rantai kenabian, wahyu, Allah yang satu, semuanya diceritakan lengkap dalam al-Quran. Itu benar-benar membuatkan Dr. Brown yakin dengan apa yang ada di depannya kini. Pendek kata, semua itu masuk akal. Lantas pada tahun 1994, demi mengotakan janjinya, dia akhirnya mengambil keputusan untuk melafazkan syahadah.

Itulah kalimah yang dicari-cari selama ini. Kalimah yang selama ini begitu asing bagi dirinya. Kalimah yang membawanya mengenal tentang kewujudan Tuhan! Dan kalimah itulah sebenarnya yang menyelamatkan bayi kesayangannya, Allah, Tuhan yang Esa!

Setelah hampir 19 tahun menjadi Muslim, dia belajar sesuatu bahawa di luar sana ramai orang yang bijak, malah lebih bijak darinya sebagai doktor. Namun, mereka tidak mampu untuk mengetahui kehebatan dan kebenaran Islam.

Dia bersyukur kerana Allah memberikannya petunjuk mencari kebenaran menerusi formula mudah. Mengakui kewujudan Allah, menyembah Allah yang satu, berjanji mencari kebenaran dan menerima petunjuk.

Sekilas tentang Dr. Brown

“Tuhan jika Engkau wujud, selamatkan anakku!”
Dr. Laurance Brown dilahirkan dan dibesarkan di San Francisco pada era 60an dan 70an. Walaupun, ketika itu fesyen hippiest dan rock n roll menjadi kegilaan, Dr. Brown tidak pernah terjebak dengan fesyen yang entah apa-apa itu.

Apatah lagi, dia dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan gaya hidup sihat. Itulah yang membuatkan dia tidak terjebak dengan sebarang masalah sosial. Apa yang penting, dia bangga dengan dirinya yang bersih berbanding rakan-rakannya yang lain.

Pencariannya terhadap agama membawanya mengenali Allah Tuhan sebenar
Dia dilahirkan dalam keluarga yang tidak mempercayai sebarang agama atau lebih tepat ateis. Oleh itu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Maka, Dr. Brown juga menjadi ateis sehingga dia berusia 30 tahun.

Segalanya mula berubah apabila anak perempuan keduanya lahir. Sejak itulah dia mula mencari kebenaran walau hatinya tidak pernah terfikir untuk menganuti mana-mana agama sebelum ini biarpun dia sendiri belajar hingga ke peringkat tertinggi.

Kini, graduan Universiti Cornell, Brown Universiti dan George Washington Universiti Hospital ini berjaya menjadi seorang pakar bedah mata dan dilantik sebagai pengarah perubatan dan ketua pakar mata utama di Timur Tengah.

Dia juga merupakan seorang penulis novel dan buku-buku ilmiah yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Dr. Laurance Brown kini bahagia bersama isteri dan tiga orang anak perempuannya. Utv

“Tuhan jika Engkau wujud, selamatkan anakku!”


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Hanya dengan BERSIWAK, tentera muslim berjaya menggerunkan musuh dan menawan negara mereka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker