Pemandangan bersama lori balak di Kedah kekal 18 tahun lagi-MB Kedah

Sebaran :


Sik: Aktiviti pembalakan di daerah ini dijangka berterusan bagi tempoh 18 tahun lagi, berikutan kesemua lesen bagi aktiviti itu sudah diluluskan pimpinan kerajaan negeri terdahulu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mei tahun lalu, pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang projek pembalakan baharu di Kedah.

“Orang ramai tak akan dapat lihat pemandangan tanpa lori balak di jalan raya sepanjang tempoh ini, ia sudah diluluskan kerajaan terdahulu. Balak itu akan berjalan sampai ‘kiamat’ (dalam tempoh lama), kena terima kerana perkara ini (kelulusan) sudah lepas.

“Kita pun sedang jaga alam, Jabatan Perhutanan akan menguruskan kawasan mana yang boleh dibalak dan kawasan mana tak boleh dibalak. Kawasan yang boleh dibalak akan menjadi hasil kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan orang ramai yang mendapati aktiviti pembalakan masih terus dilakukan di daerah ini, sedangkan kerajaan negeri sudah tidak meluluskan sebarang lesen pembalakan di Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menasihati individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak membuat bantahan balak tanpa usul periksa.

Katanya, ini kerana pokok balak di hutan jika tidak ditebang pada tempoh tertentu tetap akan tumbang atau reput menyebabkan kerajaan negeri tidak mendapat hasil.

“Kepada NGO yang mengaku pencinta alam, jangan menentang sembrono saja, Jabatan Perhutanan sudah tentukan di mana kawasan tadahan dan kawasan yang sudah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Semua kawasan tersebut kita akan pulihara demi menjaga sumber air bagi kegunaan penduduk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sik di sini, hari ini. HM

Kedah akui ada pembalakan di Ulu Muda, namun terkawal – Sanusi


Sebaran :

Leave a Reply