Kedah akui ada pembalakan di Ulu Muda, namun terkawal – Sanusi

Sebaran :

Kegiatan pembalakan di luar kawasan Hutan Simpan Ulu Muda terkawal dan tidak menjejaskan kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemantauan yang dilakukannya mendapati aktiviti pembalakan yang diluluskan itu dilakukan dengan mematuhi peraturan.

“Saya masuk ke kawasan tengah Ulu Muda di (kawasan) hulu. Hulu sungai itu sebenarnya bukan dari Thailand seperti didakwa sesetengah pihak, malah dipisahkan oleh banjaran.

“Terdapat tujuh batang sungai bercantum di Ulu Muda yang akhirnya mengalirkan bekalan air ke Sungai Muda.

“(Kita) pantau macam mana mereka (pembalak) buat tebangan sebab (pembalakan) di kawasan Ulu Muda yang di luar kawasan tadahan (air) yang diwartakan itu, memang sudah diluluskan.

“Saya sebutkan hari itu 25,000 hektar (diluluskan) cuma sekarang ini aktiviti itu dalam proses lesen tebangan… kita hendak tengok bagaimana…

“Tapi sekarang musim hujan, tak ada aktiviti tebangan sebab (balak) tidak boleh dibawa keluar kalau hujan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian selepas menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Pusat Khidmat Rakyat Pas Sungai Pau, Sik, hari ini.

Katanya, pemantauan berkala perlu dilakukan supaya tidak berlaku penebangan melebihi catuan tahunan dan mematuhi zon penampan sejauh empat kilometer bagi menjaga aliran sungai.

Beiau berkata, kawasan yang dibenarkan tebangan juga perlu dipantau kerana spesies pokok yang dilindungi tidak boleh ditebang.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sendiri melakukan pemantauan berkenaan bagi memastikan aktiviti pembalakan mematuhi pemit dibenarkan tanpa menjejaskan kawasan tadahan air. Awani

MB Kedah nafi dakwaan Presiden PEKA kerajaannya lulus pembalakan


Sebaran :

Leave a Reply