Moratorium: Kerajaan boleh guna 3 akta ini terhadap bank – Pemuda Umno



Sebaran :

Moratorium: Kerajaan boleh guna 3 akta ini terhadap bank - Pemuda UmnoMoratorium: Kerajaan boleh guna 3 akta ini terhadap bank – Pemuda Umno

Pemuda Umno mempertikaikan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk memaksa bank menawarkan moratorium menyeluruh kepada para peminjam.

Pada satu kenyataan hari ini, Ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan tiga undang-undang yang memberi kuasa kepada Putrajaya untuk mengenakan moratorium “automatik”.



“Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk ‘Overrule’ atau membatalkan sebarang keputusan yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan Menteri bertanggungjawab.

“Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) juga memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan melalui BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.

“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memberikan Kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baru mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat Proklamasi Darurat.



“Hakikatnya, tanpa Ordinan Darurat pun, dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa Menteri Kewangan yang amat besar hingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi (overule) sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersil,” katanya.

Kalau begitu kenapa nak darurat?

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata kenyataan Zafrul itu kurang tepat, menjelaskan darurat memberi kerajaan kuasa untuk mengawal bank-bank.

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) S Thiban pula berpendapat darurat terbukti “gagal” jika Putrajaya tidak menggunakannya untuk membenarkan moratorium menyeluruh.



“Apa ertinya darurat jika kerajaan tidak boleh kawal bank-bank?

“Atau kerajaan hari ini dikawal oleh bank-bank,” soalnya pada kenyataan berasingan.

GLC pemilik bank-bank

Sementara itu, Asyraf yang juga bekas senator dan mantan timbalan menteri itu menunjukkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memiliki saham penentu sekurang-kurangnya empat bank komersil.



Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Modal Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memiliki 83 peratus kepentingan dalam Bank Islam.

Khazanah Nasional memiliki 30 peratus saham dalam Bank Muamalat.

PNB, KWSP dan KWAP memiliki 62 peratus saham Maybank.



Ketiga-tiga GLC ini juga memiliki 62.1 peratus kepentingan dalam Bank CIMB.

“Justeru, Pemuda Umno menyarankan agar kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada sebagaimana yang dinyatakan untuk mengarahkan bank-Bank yang ternyata mencatat keuntungan mencecah berbilion ringgit hanya pada suku tahun pertama 2021 sahaja, untuk menawarkan moratorium secara automatik kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan.

“Dan tidak terhad kepada hanya golongan B40,” tegas Asyraf lagi.



Moratorium pinjaman ‘total’

Semalam Zafrul menjelaskan kenapa kerajaan PN tidak dapat melaksanakan moratorium pinjaman ‘total’ dalam pakej bantuan ekonomi terbaru bernilai RM40 bilion itu.

“Anda kena faham kerajaan tidak mengawal atau memiliki bank, betul tak?” katanya.

“Ini perbincangan antara Bank Negara dan bank-bank.



“Kami tidak memiliki kemampuan undang-undang untuk memaksa bank melakukan (apa yang kami mahukan),” katanya.

Bawah Pemerkasa Tambahan, kata Zafrul kerajaan memberikan moratorium pembayaran pinjaman automatik untuk golongan B40.

“Jika mereka mohon, mereka boleh dapat,” jelasnya.

Pilihan moratorium pinjaman selama tiga bulan terbuka untuk peminjam daripada tiga kategori: kumpulan B40, mereka yang kehilangan pekerjaan dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP3.0.

Mereka boleh memilih pilihan itu atau mendapat potongan 50 peratus untuk pembayaran pinjaman mereka selama enam bulan. Mk

Moratorium: Kerajaan boleh guna 3 akta ini terhadap bank – Pemuda Umno


   Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Moratorium: Kerajaan ada ‘kuasa besar’ atas bank


Sebaran :


Leave a Reply