Escamol Menu Mewah Telur Semut

 

Escamol Menu Mewah Telur Semut

Escamol Menu Mewah Telur Semut

MEMILIKI rasa bak mentega dan kacang dengan teksturnya seperti keju menjadikan escamol hidangan yang sangat istimewa serta boleh disifatkan mewah di Mexico.



Escamol ialah menu tradisi masyarakat Aztec sejak zaman kuno yang menggunakan telur, larva atau kepompong semut. Makanan ini dikategorikan antara menu paling aneh di dunia.

Beberapa ahli sejarah menyatakan, larva semut telah dijadikan sebagai hadiah kepada maharaja Aztec iaitu Moctezuma Xocoyotzin pada tahun 1503 hingga 1520.
Masyarakat Aztec menganggapnya sebagai hidangan eksklusif kerana kesukaran untuk mencari dan mendapatkannya.

Telur, larva atau kepompong semut itu adalah daripada spesies semut hitam Liometopum apiculatum. Habitat utama spesies semut ini adalah di Mexico selain Amerika Syarikat (AS).

Suatu ketika dahulu, ia menjadi barang pertukaran popular dalam kalangan suku nomad seperti Otomis.



Terkenal dengan jolokan kaviar Mexico, telur semut itu selain larva dan kepompongnya diambil dari sarang serangga tersebut yang ditemui di kawasan berbatu dan di bawah tanah terletak beberapa meter dari pokok kaktus, lada serta oak.

Pencari telur semut akan menggiatkan pencarian pada bulan Februari hingga April kerana tempoh tersebut semut akan bertelur dengan banyak.

Seiring perubahan zaman, kaviar semut itu dimasak dengan pelbagai resipi dan menjadi makanan istimewa terutamanya di Mexico.

Resipi tradisi telur semut itu hanya menggunakan ramuan ringkas seperti cili hijau dan bawang merah yang dicincang halus.



Ia akan dimasak selama lima minit dan sedia untuk disajikan bersama tacos atau tortila jagung.

Escamol Menu Mewah Telur Semut
Sarang semut Liometopum apiculatum

BEGINILAH rupanya sarang semut Liometopum apiculatum yang dipenuhi dengan telur, larva selain semut-semut itu yang berwarna hitam.

Menurut Slow Food Foundation, harga escamol di pasaran Mexico adalah antara AS$35 (RM144.67) dan AS$100 (RM414) sekilogram lantas menjadikannya makanan yang mahal serta disajikan di restoran mewah.

Sehubungan itu, mencari telur semut menjadi tunggak ekonomi bagi keluarga-keluarga di dataran tinggi San Luis Potosi, Mexico apatah lagi peluang pekerjaan agak terhad di situ.



Keluarga yang mencari telur semut mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya AS$502.66 (RM2,080) setahun.

Salah seorang pencari telur semut, Pancho Prieto memberitahu, dia bersama keluarga memulakan pekerjaan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kami perlu sabar menanti musim menuai telur semut itu selain terpaksa menjelajah padang pasir untuk pergi ke sarang serangga itu,” tutur lelaki berusia 57 tahun itu.

Ahli keluarganya yang lain akan membantunya untuk membersihkan telur-telur semut itu sebaik sahaja dibawa pulang ke rumah.



Para pencari telur semut lazimnya akan berkumpul di pusat perhimpunan yang terletak di bandar berhampiran.

Dari situ, mereka akan menyewa trak untuk pergi ke kawasan padang pasir di pergunungan yang menjadi lokasi sarang semut.

Escamol Menu Mewah Telur Semut

PARA pencari telur

PARA pencari telur semut berehat sebentar sambil menikmati makanan beramai-ramai sewaktu usaha pencarian dilakukan di kawasan pergunungan.

Oleh kerana laluannya agak sukar, para pencari telur semut itu terpaksa menaiki trak separuh perjalanan sebelum berjalan kaki untuk sampai ke tempat sarang semut.



“Tugas ini biasanya memerlukan kerjasama secara berpasangan kerana sukar dilakukan secara bersendirian. Adalah penting untuk anda bekerja dengan orang yang dipercayai.

“Ada yang bekerja dengan orang yang sama puluhan tahun dan selalunya anda akan melihat kerjasama antara ayah dan anak,” jelas Prieto yang bekerjasama dengan seorang rakan.

Setiap pasangan itu mempunyai sarang mereka sendiri dan semua pencari telur semut akan menghormati hak masing-masing.

Sebagai langkah keselamatan daripada diserang semut, mereka akan membungkus kaki dengan beg plastik selain mengikatnya dengan getah.

Kemudian, mereka perlu menggali lubang pada lapisan atas sarang semut dengan berhati-hati agar tidak membunuh semut atau memusnahkan telur.

Ketika proses menggali itu, mereka perlu bertahan dengan bau busuk tanah basah serta bau tengik yang sangat kuat yang dihasilkan semut-semut itu.

“Kami akan memasukkan tangan ke dalam tanah dan mengeluarkan sarangnya yang dipenuhi dengan telur dan larva itu lalu meletakkannya ke atas logam berbingkai kayu.

“Selepas itu kami akan mengayaknya untuk mengasingkan kotoran tanah bagi membersihkan telur-telur tersebut daripada serpihan kayu kecil, kerikil serta semut,” tutur bapa kepada enam cahaya mata itu.

Telur atau larva semut

Telur atau larva semut yang berwarna putih itu kemudiannya dimasukkan ke dalam bakul plastik untuk dibawa pulang ke rumah.

Escamol Menu Mewah Telur Semut
PRIETO membawa peralatan bersesuaian dalam usahanya melakukan pencarian telur semut.

Prieto berkata, sarang yang baik dapat menghasilkan 300 gram telur atau larva sehari.

Telur atau larva itu kemudian ditimbang beratnya. Mereka perlu membuang benda-benda asing yang lain supaya ia dibeli dengan harga tinggi oleh pemborong.

Bagi satu kilogram telur semut itu berharga AS$10 (RM41). Ia dijual di pasar Mercado de San Juan, Mexico City yang terkenal sebagai tempat menjual makanan eksotik seperti daging singa, buaya dan tarantula.

Pengurus pasar tersebut, Pedro Hernandez, 55, berkata, telur semut sangat istimewa bukan hanya kerana rasanya yang sangat sedap tetapi juga mempunyai nilai dagangan yang sangat tinggi.

“Saya masih ingat lagi, dahulukala nenek akan menggunakan sistem barter dengan menukar telur semut untuk mendapatkan pakaian atau makanan di Pachuca, Mexico.

“Saya telah makan telur semut sejak kecil dan amat menggemarinya,” katanya.

Sementara itu, seorang peguam, Raul Fernando Valencia Lecona, 28, menjadi orang penting untuk memastikan urus niaga yang adil di antara pencari telur semut dan pemilik restoran di bandar.

“Saya mahu nasib para pencari telur semut ini terbela dan tidak akan membiarkan orang tengah mengambil keuntungan.

“Saya juga mahu memastikan pencari telur semut ini memperoleh pendapatan setimpal dengan kesukaran yang mereka hadapi untuk mendapatkannya,” ulasnya.


   Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


‘Kim Kardashian Mexico’ Maut

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker