2 perkara untuk selesaikan krisis negara

2 perkara untuk selesaikan krisis negara2 perkara untuk selesaikan krisis negara

oleh Muhammed Abdul Khalid

Suntikan fiskal kerajaan sejak krisis Covid-19 berlaku sejak awal tahun lepas hanyalah RM72 bilion.

Saya ingin mencadangkan dua perkara yang harus dilakukan serta-merta dengan berkuat kuasanya sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial pada 1 Jun.

Perkara pertama ialah penyediaan bantuan yang menyeluruh. Perkara kedua ialah keperluan mengatur pasukan yang cekap, pantas, dan yang sayangkan rakyat dan negara.



Pertama, kerajaan harus memberi bantuan sepenuhnya kepada rakyat, terutamanya yang bekerja sendiri seperti Makcik Kiah, syarikat kecil dan sederhana, dan mereka dalam golongan B40 dan M40. Sudah setahun Covid-19 melanda, dan segala simpanan semuanya telah kering.

Usah kita lupa, rakyat telah mengeluarkan duit mereka sendiri, hampir RM80 bilion dari KWSP, dan menangguhkan bayaran hutang melalui “loan moratorium” sejumlah RM151 bilion.

Ini jauh lebih tinggi berbanding bantuan yang diterima daripada kerajaan.

Untuk pembandingan, suntikan fiskal kerajaan sejak krisis ini berlaku sejak awal tahun lepas hanyalah RM72 bilion.



Saya ingin mencadangkan supaya semua pekerja sendiri dan isi rumah dalam golongan B40 and M40 diberikan bantuan bulanan sebanyak RM1,500 sebulan untuk tempoh 3 bulan.

Subsidi upah

Manakala, subsidi upah diberikan kepada syarikat kecil dan sederhana seperti yang diberikan pada tahun lepas, juga untuk tempoh tiga bulan.

Pinjaman daripada bank dan agensi kredit harus diberikan moratorium untuk tempoh 3 bulan, secara automatik.

Bank tidak akan jatuh muflis. Hakikatnya tidak ada satu bank pun yang rugi tahun lepas walaupun moratorium pinjaman diberikan.



Kenyataan Bank Negara Malaysia bahawa moratorium pinjaman bukan penyelesaian terbaik untuk semua peminjam dan bukanlah kepentingan terbaik ekonomi negara amatlah memeranjatkan sekali.

Apa gunanya ekonomi berkembang jika setiap hari berpuluh-puluh rakyat mati, dan beribu-ribu hidup dalam tekanan dan kebimbangan kerana tidak mampu menyara keluarga?

Ekonomi boleh dipulihkan, tetapi nyawa yang sudah tiada, mustahil dapat dikembalikan.

Kerajaan boleh meminjam.

Alasan bahawa kita tiada ada wang untuk membantu rakyat adalah zalim, yang didasari pemikiran cetek. Kerajaan boleh meminjam.



Kadar hutang kini lebih kurang 60% daripada KDNK negara, namun negara pernah berhutang lebih 100% daripada KDNK.

Pinjaman ini berlaku pada 1980-an apabila krisis ekonomi melanda negara dan kadar pengangguran naik mendadak ketika itu. Tetapi, kadar hutang ini dapat dikurangkan dengan pantas apabila ekonomi berkembang kembali.

Lebih baik berhutang untuk menyelamatkan rakyat, daripada menyimpan duit, tetapi rakyat sengsara atau berdepan kematian. Prihatinkah kerajaan kita?

Kedua, kita perlukan pasukan baharu, yang bijak, berani, dan benar-benar sayang rakyat dan negara.



Malangnya, pasukan yang ada ketika ini gagal mentadbir negara. Ketika darurat dimulakan pada 12 Jan, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 141,533 kes, dan jumlah kumulatif kes kematian adalah 559 kes.

Kini, jumlah keseluruhan jangkitan wabak naik empat kali ganda kepada 558,534 kes, dan jumlah korban melonjak hampir lima kali ganda kepada 2,650.

Bagaimana ini boleh dibiarkan berlaku apabila kita diyakinkan berulang kali bahawa Parlimen digantung untuk mengurangkan kes dan jumlah kematian?

Selepas rusuhan kaum 1969

Ingat apa yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak selepas rusuhan kaum 1969?



Yang di-Pertuan Agong ke-4, iaitu Tuanku Ismail Nasiruddin dari Terengganu ketika itu, dengan bijaksananya, bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Ia dianggotai hanya oleh sepuluh orang sahaja, tidak perlu ahli seramai 72 orang. Ya, tiada Jemaah Menteri pun ketika itu.

Yang mentadbir negara dengan jayanya hanyalah 10 orang sahaja, diketuai oleh Tun Razak, dan dibantu oleh Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Kadir Samsudin (Ketua Setiausaha Negara), Tunku Osman Jiwa (Panglima Angkatan Tentera), Tan Sri Saleh Ismail (Ketua Polis Negara), Tan Sri Ghazali Shafie (Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri) dan Lt. Gen. Dato’ Ibrahim Ismail sebagai Ketua Eksekutif MAGERAN.

Kesepuluh ahli MAGERAN berjaya menstabilkan negara dalam masa yang amat pantas sekali.

Mereka menubuhkan hanya dua jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Ekonomi dan Majlis Perundingan Nasional (MPN).

Ahli panel yang dilantik terdiri daripada penjawat awam, profesional sektor korporat, ahli akademik, agamawan dari pelbagai agama, wartawan, wakil majikan dan pekerja, dan wakil parti politik. Tun Razak mengamalkan sikap terbuka dan inklusif.

Ia berbeza dengan pasukan sekarang yang mengamalkan sikap terpencil dan berselindung dengan kurang berunding bersama pimpinan masyarakat dan mereka yang pakar dalam menangani krisis ini.

Anda tahu di manakah MAGERAN bermesyuarat? Ya, di Parlimen. Hasilnya, pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13, Rukun Negara dilancarkan, dan setahun kemudian, Dasar Ekonomi Baru diterima pakai dalam Rancangan Malaysia Kedua, dan Parlimen kembali bersidang.

Pasukan yang baharu, seperti MAGERAN, dan ahli-ahlinya harus diberi mandat yang jelas – tangani krisis kesihatan dan ekonomi.

Untuk memastikan “check and balance”, Parlimen harus dibuka untuk memastikan pentadbiran yang telus. Apabila mandat ini berjaya kelak, pasukan ini harus dibubarkan serta-merta.

Masih berpeluk tubuh

Malangnya negara bertuah ini jika mereka yang memerintah sekarang masih berpeluk tubuh apabila mayat rakyat dalam kontena dan ramai pula yang kebuluran.

Negara akan musnah dan “pemimpin jadong dan bebal” seperti yang diingatkan kepada kita oleh Syed Hussein Alatas akan dilaknati Allah.

Menurut beliau antara ciri-ciri bebal adalah tidak mampu melihat dan menyelesaikan masalah dengan tidak mencerap apa yang berlaku dan tidak mengakui kebodohannya.

Institusi utama negara haruslah bertindak dan bersama rakyat. Suara rakyat suara keramat. Belajarlah sejarah.

Lupakah pimpinan negara akan sejarah rakyat kita sendiri yang pernah memberontak, menolak pemimpin yang zalim?

Pemimpin bukannya dewa raja atau tuhan yang mesti disembah dan dituruti hasratnya setiap masa terutamanya jika mereka kejam, korup, dan tidak berlaku adil.

Insaflah, kita harus membuang pemimpin sebegini. Sultan Perak pernah mengingatkan kita beberapa bulan lepas bahawa orang yang tidak ikhlas, menyalahguna kuasa, bermoral rendah tidak harus diberikan amanah ataupun kuasa oleh rakyat.

Masa hadapan negara jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, atau sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri tanpa mengenal batasan.

Masa untuk bertindak adalah sekarang. Bantuan haruslah diberikan sekarang. Pemimpin yang baharu diperlukan sekarang.

Mereka yang memerintah haruslah sedar, kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Kuasa harus digunakan untuk kebaikan negara, bukan untuk memusnahkannya.

Moga Allah melindungi kita semua dan memberi petunjuk dan hidayah untuk ke arah jalan yang lurus. FMT

Muhammed Abdul Khalid merupakan ahli ekonomi, dan pernah menjadi perunding kepada beberapa agensi PBB mengenai isu pembangunan ekonomi.

2 perkara untuk selesaikan krisis negara


Baca Artikel Menari

Layari Laman Facebook MYKMU NET


OK Selepas ‘lockdown’, apa ya?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker