Segera salur bantuan kewangan kepada PKS – SAMENTA



Sebaran :


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyalurkan segera bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama bermula Selasa ini.

Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata bantuan itu termasuk meneruskan subsidi upah hingga hujung tahun ini.

Selain itu, katanya, moratorium bebas faedah secara automatik perlu untuk semua pinjaman bank dan pengurangan caj utiliti untuk semua perniagaan.



“SAMENTA menerima maklum perintah ‘total lockdown’ atau penutupan menyeluruh sektor sosial dan ekonomi oleh kerajaan. Kebanyakan PKS menyokong penuh langkah kerajaan bagi membendung wabak COVID-19.

“Sementara menunggu prosedur operasi standard (SOP) lengkap, kami meminta kerajaan memberi bantuan berkenaan.

“Sebelum ini apabila kerajaan meminta kami untuk tidak memberhentikan pekerja, kebanyakan PKS terus membayar gaji termasuk daripada simpanan peribadi.



“Pada saat genting ini, kami berharap kerajaan dapat membela nasib PKS, jutaan pekerja dan keluarga dengan memberikan bantuan segera kepada PKS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dilaporkan memaklumkan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan akan diumumkan susulan perintah berkurung penuh di seluruh negara selama 14 hari.

Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.



Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, William berkata, kebanyakan warga PKS sudah `hilang akal’ memikirkan kaedah untuk meneruskan perniagaan dalam situasi penularan COVID-19.

Malah, katanya, ada pihak yang terpaksa berhutang dengan tuan rumah dan pembekal barang selama berbulan.



“Sebelum PKP menyeluruh ini, ada yang masih berharap dapat memenuhi pesanan sedia ada supaya dapat mengumpulkan dana secukupnya untuk melangsaikan hutang.

“Bagaimanapun dengan PKP menyeluruh, ia sukar malah agak mustahil untuk peniaga berbuat demikian,” katanya.

Pada masa sama, William menggesa semua ahli dan PKS lain supaya mematuhi semua SOP bagi membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19. BH



Ekonomi fizikal tenat – Dr Anuar Shah


Sebaran :


Leave a Reply