Tak Sihat, Belum Bersedia Dan Takut-Warga Emas
ALOR SETAR – Sebahagian warga emas di negara ini masih ‘termakan’ dengan fakta yang kurang tepat mengenai vaksin hingga mendorong mereka enggan mendaftarkan diri selain cuma berserah diri kerana sudah tua dan uzur.
Terdapat juga dalam kalangan mereka bertindak demikian kerana bimbang tahap kesihatan terjejas.
Pesara kerajaan yang mahu dikenali sebagai Asmah, 68, berkata, dia belum mendaftar kerana risau penyakit darah tinggi dan masalah kolesterol dihadapinya semakin teruk.
“Walaupun penyakit saya tidak serius tetapi saya takut bila ambil vaksin penyakit itu akan menjadi lebih teruk dan dapat sakit lain pula,” katanya.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan yang mahu dikenali sebagai Rahmat, 45, berkata, dia baru sahaja mendaftar sebagai penerima vaksin semalam.
“Saya hendak lihat dahulu kesan dia. Pada mulanya bimbang juga kerana ada banyak maklumat dan pandangan diberikan tentang vaksin ini,” katanya yang mulai sedar tentang kebaikan vaksin.
Dalam pada itu di Kota Bharu, dua warga emas di Kampung Pasir Golok, Ketereh di sini mengakui masih belum mendaftar dengan alasan sudah berusia dan uzur.
Siti Meriam Jusoh, 110, dan anak bongsunya, Saudah Jusoh, 73, kini tidak keluar rumah selepas sejak penularan jangkitan Covid-19 pada tahun lalu.
Siti Meriam hanya bergantung kepada cucunya, Siti Salwani Abdullah, 41, untuk menghantar makanan setiap hari.
Menurut Siti Salwani, neneknya mahu menerima vaksin meskipun takut, namun ibunya, Saudah pula enggan kerana mengatakan dia sudah tua.
“Saya akan bawa nenek daftar vaksin di Jabatan Kesihatan. Ibu pula berkeras tidak mahu ambil vaksin kerana menghidap angin ahmar dan bimbang jika ada kesan terhadap kesihatannya.
“Saya tidak risau kerana ibu dan nenek tidak keluar rumah. Saya akan menghantar makan dan minum mereka dua kali sehari,” katanya.
Tambahnya, neneknya tiada sebarang masalah kesihatan yang serius dan hanya mengalami masalah pendengaran selain uzur akibat sudah berusia.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, seorang wanita dikenali sebagai Nab, 65, mengakui dia bimbang vaksin mempunyai kesan sampingan menyebabkan dia enggan menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini.
“Saya ada asma, diabetes dan tekanan darah rendah. Saya bimbang tahap kesihatan akan menurun selepas disuntik vaksin, namun bergantung kepada antibodi seseorang,” katanya.
Tambahnya, dia pernah mengambil vaksin influenza untuk menunaikan umrah sebelum ini dan sakit teruk hampir seminggu.
Menurut Nab, dia bukan antivaksin, tetapi setakat ini masih belum yakin sepenuhnya.
Sehubungan itu, dia dan suami memilih untuk mematuhi prosedur operasi standard bagi menghindar jangkitan seperti memakai pelitup muka.-K! ONLINE
You must be logged in to post a comment.