Otai Bolasepak 1980-an Hidup Melarat

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul!

Itu situasi dialami bekas bintang bola sepak negara, Azhar Sharif yang hidup susah menumpang di hutan simpan di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Selangor.

Azhar, 56, yang seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah antara tonggak utama Selangor pada era pertengahan 1980-an dan pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.



Malah, dia juga pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya dengan memori paling manis berjaya membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada tahun 1986.

Bagaimanapun ‘langit tak selalunya cerah’ apabila pada 1995 karier bola sepaknya musnah selepas menerima kecederaan serius ketika beraksi untuk Perak ketika itu.

Dia disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) selepas dibentes pertahanan import Selangor, Mehmet Durakovic yang memaksa Azhar membuat keputusan menggantung but, sekali gus meninggalkan sukan yang paling diminatinya itu.

 



AZHAR (kiri) di rumah tumpangan di lereng bukit hutan simpan di kampung Kemensah, Hulu Selangor.
AZHAR (kiri) di rumah tumpangan di lereng bukit hutan simpan di kampung Kemensah, Hulu Selangor.

 

Menceritakan kehidupannya ketika ini, Azhar mengakui hidupnya kini sukar terutama sejak setahun lalu apabila pandemik Covid-19 melanda negara di mana dia hilang punca pendapatan sebagai jurulatih untuk beberapa pasukan komuniti sekitar Gombak.

Kemuncak kesulitannya, dia terpaksa berteduh di sebuah rumah usang di lereng bukit milik kawan karibnya yang juga bekas penjaga gol Kuala Lumpur sambil membuat kerja sampingan dengan menjaga reban ayam milik rakannya itu.

Katanya, dia bersyukur dengan bantuan rakan karibnya, namun tidak menolak hasrat untuk mencari kediaman lebih selesa di mana dia mahu memberi fokus untuk menuntut ilmu agama.



“Walaupun rumah ini dalam hutan, tapi saya tenang. Tapi kalau boleh saya nak cari akhirat dan belajar agama sebab saya nak buat persediaan untuk dunia satu lagi.

“Kalau dapat tinggal di asrama tempat belajar agama pun tak apa. Saya dah tak mahu kejar dunia lagi, semua itu bukan dunia saya dah. Ada kawan nak bawa saya ke Perlis belajar agama di sana dengan Cikgu Jan (Norizan Bakar-bekas jurulatih negara).

“Tapi jauh sangat kalau boleh dapat dekat sini pun lebih baik. Itu saja saya nak, benda lain saya tak mahu dah,” katanya yang mengakui kadangkala hanya makan ubi kayu untuk meneruskan kehidupan.

Untuk rekod, selain pernah beraksi di samping Mokhtar Dahari, Azhar juga adalah rakan sepasukan mendiang R Arumugam, Zainal Abidin Hassan, Zapril Hashim, Khang Hung Meng, Lim Teong Kim dan Zainal Nordin.



Pada final Piala Malaysia 1986, Azhar mencetak dua gol buat Selangor untuk meraih kemenangan 6-1 ke atas Johor selain meledak satu gol ketika final Piala Malaysia 1984 dengan menewaskan Pahang 3-1.-HM

[VIDEO] Bapa Beli Kelab Bolasepak Untuk Bermain Bersama Anak Rupanya..



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker