Ramona Zamzam dituduh pro-Zionis – “Suami saya asal Palestin”


Ramona Zamzam dituduh pro-Zionis – “Suami saya asal Palestin, Saya tidak perlu hipokrit.”

PELAKON Ramona Zamzam menempelak dakwaan segelintir netizen yang menuduh dirinya sebagai pro-Zionis hanya kerana tidak memuat naik sebarang perkongsian di media sosial sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.

Sebelum ini warganet mempersoalkan mengenai solidariti yang sepatutnya pelakon berusia 31 tahun itu tunjukkan kepada khalayak lebih-lebih lagi dia berkahwin dengan lelaki berasal dari Palestin yang dikenali sebagai Rami Alaskhar.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Ramona memberitahu dia terpaksa berehat daripada dunia media sosial selama seminggu kerana tidak sanggup melihat video keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Hati dan dada saya sakit…saya tak boleh tengok video-video tersebut kerana jiwa saya terlalu lemah.

“Pada mereka yang memberi sokongan terhadap Palestin, terima kasih. Saya sangat hargai pada mereka yang tanya tentang Rami dan keluarganya.

“Alhamdulillah, mereka semua berada dalam keadaan okey…ibu bapa dan adik-beradiknya tidak berada di Malaysia tetapi di negara lain.

“Ya betul, Rami masih ada saudara-mara di Gaza dan ketika ini media sosial dibanjiri dengan video dan gambar pengeboman tanpa henti,” katanya.

Sering berhubung dengan keluarganya.

Tambah Ramona, suaminya sering berhubung dengan keluarganya dari masa ke masa meskipun negara Palestin sedang bergolak.

Ujarnya lagi, Rami tidak dibenarkan pulang ke tanah airnya buat selama-lamanya atas sebab tanah mereka sudah diambil oleh Israel.

“Buat yang bertanya mengenai Rami akan pulang ke Palestin, saya ingin jelaskan bahawa dia dan keluarganya tidak dibenarkan untuk balik ke Palestin selama-lamanya.

“Kenapa? Sebab tanah mereka adalah salah satu tanah yang telah diambil oleh orang Israel dan mereka telah diusir keluar daripada negara sendiri.

“Sejak kecil Rami dah berpindah-randah ke banyak negara dan begitulah cara mereka untuk meneruskan kehidupan,” luahnya.

Malah, meskipun sudah sembilan tahun suaminya tidak bertemu dengan bapanya,namun Rami tidak sedikit pun mengeluh.

“Jarang jumpa? Oh…mereka dah biasa. Bercakap tentang itu, untuk orang yang langgar prosedur operasi standard (SOP), tergedik-gedik nak curi pergi sana-sini untuk berjumpa dengan orang, Rami dah sembilan tahun tak jumpa ayah dia.

“Kali terakhir bertemu dengan ibunya masa saya baharu habis pantang (awal 2018) itu pun sebab dia gagahkan juga datang ke Malaysia untuk jumpa cucunya.

“Adik-beradik dia pun dah bertahun juga dia tak jumpa tapi Rami tak pernah pun mengeluh. Manakala kita suka-suka hati langgar SOP untuk berjumpa dengan orang,” ungkapnya.

Bintang filem KL Special Force itu menggesa orang ramai untuk tidak terus melabelkan dirinya pro-Zionis walaupun memilih untuk berdiam diri dan tidak memuat naik sebarang isu tentang Palestin.

Katanya,mustahil buat dirinya yang berkahwin dengan warganegara Palestin untuk tidak merasai keperitan yang sedang dialami penduduk di negara berkenaan.

Tolonglah berhenti

Untuk yang menuduh saya pro-Zionis, tolonglah berhenti. Hanya kerana saya tidak memuat naik tentang Palestin, ia tidak bermakna saya tak ambil peduli.

“Gila ke? Saya berkahwin dengan orang Palestin. Sosial media bukan segala-galanya, anda boleh rasa apa sahaja tetapi tidak perlu memuat naik sebarang entri.

“Saya perlukan masa dan tidak mahu hipokrit hanya kerana orang lain berkongsi isu yang sama.

“Tuduhan mengatakan saya pro-Zionis adalah lawak paling tidak masuk akal yang pernah saya dengar,” katanya.

Ramona dan Rami berkahwin pada 1 Mei 2015 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivanna Alaskhar yang kini berusia empat tahun. Utv

Ramona Zamzam dituduh pro-Zionis – “Suami saya asal Palestin, Saya tidak perlu hipokrit.”


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


#SavePalestine: Terima Ugutan Bunuh -Yatt Hamzah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker