eBelia bernilai RM300 juta untuk pelajar IPT



Sebaran :

eBelia bernilai RM300 juta untuk pelajar IPT
KUALA LUMPUR – Program eBelia (eBelia), sebuah inisiatif kredit e-tunai bernilai RM300 juta, akan dibuka kepada kira-kira dua juta belia warganegara Malaysia yang layak bermula 1 Jun 2021.

Ia bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.

Di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap belia yang layak, kata Kementerian Kewangan.



Menurutnya, kerajaan telah menambahbaik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan sejumlah RM100 juta di bawah program PEMERKASA yang diumumkan Mac lalu, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta.

Dengan faedah tambahan ini, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini.

eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet, yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif, dan jaringan lebih 1 juta peniaga di dalam dan luar talian.



Setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai ini, yang akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk cash back, baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen.

Katanya, inisiatif eBelia ini dibuka kepada warganegara Malaysia yang: 1) Mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2021 (lahir pada tahun 2001 hingga 2003); atau 2) Merupakan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di IPT tempatan berdaftar.

Kementerian itu berkata, data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.



Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai 2021 dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021.

Ujarnya, mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021.

eBelia merupakan kerjasama Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. MG



eBelia bernilai RM300 juta untuk pelajar IPT


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Hujung Julai rakyat akan menerima e-wallet RM50.00 – Tengku Zafrul


Sebaran :


Leave a Reply