Kutuk, kecam sahaja tidak cukup
Negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu bersama-sama melakukan sesuatu secara praktikal di lapangan bagi membantu penduduk Palestin selain menghadapkan rejim Israel ke muka pengadilan.
Tindakan mengutuk dan mengecam keganasan tersebut tidak memberi apa-apa kesudahan sebaliknya umat Islam digesa bersama-sama bersatu mengambil tindakan seterusnya terhadap tentera rejim itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, negara-negara di bawah keanggotaan OIC perlu menggunakan kuasa dan pengaruh mereka menggesa masyarakat antarabangsa dengan mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan Israel.
Katanya, masyarakat antarabangsa tidak seharusnya terus mendiamkan diri terhadap tindakan tentera rejim zionis kepada penduduk Palestin yang tidak bersalah sebaliknya kerajaan Israel dan kepemimpinannya perlu dibawa ke muka pengadilan melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Mesej saya kepada semua negara OIC, hanya untuk sekali, bersatu antara negara anggota OIC. Hanya bersatu agar matlamat Palestin menjadi keutamaan dalam agenda mereka dan cuba melakukan sesuatu secara praktikal di lapangan.
“Terus sahaja mengutuk apa yang Israel lakukan adalah tidak cukup, OIC harus mengambil tindakan di lapangan untuk menunjukkan kepada Israel bahawa anggota OIC serius menyokong Palestin dan menunjukkan soladiriti mereka kepada Palestin,” katanya ketika dihubungi semalam.
Walid berkata, negara-negara anggota OIC harus memberikan segala jenis bentuk sokongan kepada penduduk Palestin terutama melalui sokongan politik dan politik luar antarabangsa.
“Mereka harus memberikan sokongan kewangan kepada penduduk Palestin. Kerosakan yang dilakukan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza memerlukan jutaan dolar, hanya untuk memperbaiki apa yang telah Israel rosakkan. Palestin perlu diberikan sokongan yang diperlukan daripada umat Islam,” katanya.
Tambah beliau, sejak minggu lalu, kerajaan Israel menerusi tentera rejimnya berterusan menyerang penduduk Palestin yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza.
“Berdasarkan angka terbaharu yang dikeluarkan pagi tadi (semalam), seramai 143 penduduk Palestin disifatkan mati syahid dan lebih daripada 1,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak tercedera,” katanya.
Dalam pada itu, Walid sebagai seorang Duta Besar berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin;, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Parlimen Malaysia, mereka semua mengutuk serangan di Palestin.
“Perdana Menteri juga telah menyatakan pernyataan yang sangat tegas kepada negara anggota OIC untuk secara praktikalnya mengambil tindakan bersama-sama dengan kepimpinan Indonesia dan Brunei yang memiliki tindakan yang kuat dalam negara OIC,” katanya. – UO
You must be logged in to post a comment.