Isteri hamil parah dibelasah suami


JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan awam di negeri ini terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Mangsa yang berusia 43 tahun dan kini sedang hamil empat minggu dilaporkan me­ngalami kecede­raan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.

Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Larkin di sini.

Adik mangsa dikenali sebagai Fazariah mendakwa, kakaknya yang ber­kahwin pada 7 September tahun lalu telah dimasukkan ke ICU HSA pada 4 Mei lalu selepas dihantar suaminya yang berusia 38 tahun.

“Saya terima panggilan daripada abang ipar sehari kemudian (5 Mei). Dia beritahu kakak dimasukkan ke hospital ke­rana cedera. Dia beritahu ada tolak sikit sebelum kakak terjatuh dan minta maaf,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Fazariah yang bergegas ke HSA dari Sungai Udang, Melaka berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati kepala dan badan kakaknya dipenuhi dengan wayar dan sedang bertarung nyawa di ICU dalam kea­daan tidak sedarkan diri.

Menurut wanita itu, tengkorak kepala kakaknya terpaksa dibuang bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk disebabkan berlakunya pendarahan pada otak.

“Doktor memaklumkan harapan kakak untuk pulih seperti sedia kala adalah tipis,” katanya sambil memberitahu mangsa baru disahkan mengandung empat minggu.


Mangsa

Adik mangsa mendakwa, dia tidak men­getahui punca pasa­ngan tersebut bergaduh kerana kakaknya jarang mengadu me­ngenai kisah rumah tangganya.

Berdasarkan maklumat rakan sekerja, mangsa juga kerap dilihat mengalami lebam di muka dan tangan.

“Kami tak sangka abang ipar tergamak bersikap ganas. Saya tidak tahu pekerjaannya, kami sekeluarga ada bertanya tetapi dia mengelak,” dakwanya.

Susulan kejadian itu, Fazariah telah membuat laporan di Balai Polis Larkin di sini pada 6 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padz­li Mohd. Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan perkembangan me­ngenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. K Online

Wanita Hamil Dibelasah Suami Masih Koma, Ramai Pakat Buat Solat Hajat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker