Resepi Rempeyek Kacang Tanah

Resepi Rempeyek Kacang Tanah

Rempeyek Kacang Tanah Asli Yang Rangup, Berempah Dan Paling Sedap Dengan Resepi Sukatan Cawan. Ramai ke yang nak belajar buat sendiri rempeyek kacang tanah ni ? hehe. Den ni anak jawa Johor dok diperantauan (kononnya).Jadi bila cakap pasal rempeyek, tak sah jawanya kalau tak reti makan rempeyek kan.Kadang-kadang nak lagi senang sebutannya kite orang panggil kuih ni peyek je.Senang.Tak payah panjang sangat idgham bigunnahnya.kiki.

Rempeyek kacang tanah yang asli dengan bahan-bahan rempah yang enak dan menjadikan rempeyek ini lebih rangup dan sangat sedap dan juga berempah.

Hidangan tradisi semasa sambutan Hari Raya bagi kebanyakan masyarakat Jawa.Tetapi kini ia sudah menjadi hidangan kegemaran ramai masyarakat berbilang kaum.

Orait, terus teranglah.Saya ni termasuk geng anak jawa yang tahu je makan peyek tapi belum tentu tahu buat sendiri sejenis kuih yang rangup dengan taburan kacang tanah dan ikan bilis diatasnya.Padahal dari kecik lagi, sampai dah jadi mak orang, mak saya sendiri atau mak Muo (Mak mertua) tiap kali raya tak pernah miss buat rempeyek ni.Mak Mertua saya lagi best, kalau tak raya pun, dia buat je rempeyek ni untuk makan-makan atau cemilan.

Rempeyek kacang tanah akan menjadi lebih rangup dan sedap apabila kita buat dengan cara dua kali gorengan.Ini adalah pic rempeyek selepas gorengan yang pertama.

Rempeyek Kacang Tanah Kuih Raya Tradisi

Yelah kot.Orang kata, bila semuanya depan mata, kita memang tak ambik port pun.Sehinggalah menjelang Hari Raya tahun ni (sebab PKPB), terasa pulak kekurangan raya kami.Dahlah tak jumpa dan bersalaman dengan orang tua, rempeyek yang merupakan salah satu tradisi kuih raya pun kami tak jumpa.Nak buat sendiri, den pun tak tahu macam mana.isk.isk.
Akhirnya, Allah menjawab bisikan hati saya.Tiba-tiba saya beritahu suami nak mintak resepi dengan Mak Muo nak try buat sendiri rempeyek kacang tanah.Asalnya Encik Suami macam tak percaya.Sejak 16 tahun usia perkahwinan kami, memang tak pernah sekali saya teringin nak belajar buat sendiri rempeyek kacang tanah.Tapi semangat berkobar tu datang bila mak Muo pun kata, cubalah buat.Buat sikit dulu.

Dan, dalam post kali ini saya kongsikan buat pertama kalinya secara ekslusif rempeyek kacang tanah yang rangup, berempah dan sangat sedap dengan resepi sukatan cawan.Resepi ini special mak Mertua saya kongsikan kepada saya menantunya yang agak hantu ni.heh.

Bahan-bahan Rempeyek Kacang Tanah Asli

1 paket tepung beras ( cap teratai. cap gajah/ cap bunga)-mana-mana boleh.
3 biji telur
1 kotak santan kara ( 200ml) campur dengan 1 cawan air ( untuk sebatikan adunan)
3 sudu makan ketumbar (dikisar)
1 sudu makan jintan manis (dikisar)
2 sudu makan jintan putih (dikisar)
Segengam ikan bilis (dikisar)
5 ulas bawang putih (dikisar)
2 ulas bawang merah (bawang kecil /dikisar)
1/2 sudu teh kapur makanan
1 mangkuk ikan bilis ( hiasan atas rempeyek)
500 gram kacang tanah ( tabur atas rempeyek)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng yang secukupnya.

Cara Menyediakan Rempeyek Kacang Tanah Asli

  1. Kisar semua bahan yang perlu dikisar.
  2. Dalam bekas lain,masukkan tepung gandum dan garam.Masukkan telur satu demi satu.Gaul hingga sebati.
  3. Masukkan bahan kisar dalam bekas adunan tepung.
  4. Gaul adunan dengan santan ( yang sudah dicampur air) sedikit demi sedikit.Gaul sehingga adunan menjadi cair seperti adunan lempeng.Kalau ikut Mak Muo saya, adunan rempeyek ni sepatutnya lebih cair lagi daripada adunan lempeng.
  5. Masukkan sedikit kapur makanan.Kacau lagi sehingga sebati.
  6. Sediakan kacang tanah dan ikan bilis dalam mangkuk kecil supaya senang kita nak guna time menggoreng rempeyek nanti.
  7. Sediakan juga santan cair ( balance santan untuk adunan tadi ) bagi tujuan mencairkan adunan jika ia memekat sementara kita menggoreng rempeyek.
  8. Panaskan kuali dengan api sederhana, dengan minyak yang sederhana.
  9. Gunakan acuan rempeyek atau sudip untuk membentuk rempeyek.
  10. Goreng sekejap rempeyek, kemudian angkat dan letak atas dulang.Buat hingga selesai.
  11. Selepas selesai semua, goreng sekali lagi rempeyek dengan pastikan kacang tanah dan ikan bilis menjadi rangup dan sedap dimakan.
  12. Selesai menggoreng bolehlah hidang dan simpan dalam bekas kedap udara.

Cara Menyediakan Rempeyek Kacang Tanah Asli ( Step By Step )

Resepi Rempeyek Kacang Tanah
 Antara bahan yang saya gunakan dan sempat snap. Memandangkan saya dah beli siap-siap jintan putih dan jintan manis dalam bentuk serbuk, jadi saya proceed dengan bahan yang dah ada.Resepi lengkap sila rujuk di atas ya:)
 So, yang ini saya dah masukkan dulu jintan dalam bentuk serbuk dalam bekas tepung beras.Garam pun saya dah masukkan sekali.
 Masukkan pula 3 biji telur.Saya guna telur gred C je.Gaul sehingga sebati ya.
Kemudian, saya masukkan pula bahan kisar yang lain seperti ketumbar, bawang merah dan putih, dan ikan bilis.Blend sampai halus ya. Kalau nak nampak jintan tu sikit-sikit kat rempeyek korang, bolehlah blend sedikit kasar, tapi jangan kasar sangat ya.
 Ini rupa tepung beras yang sudah digaul sebati dengan santan yang sudah dicampurkan dengan air. Maklumlah ini first time saya buat, saya pun agak-agak je level kecairan tepung ni.Rupanya, tahap kecairan tepung beras ni kena sampai cair yang amat sangat.Sebab tepung beras ni dia mudah memekat, lagi-lagi bila kita gaul dia dengan santan.
Ini santan standby yang saya sediakan untuk cairkan adunan asal jika ia memekat dalam tempoh kita menggoreng rempeyek.
Resepi Rempeyek Kacang Tanah

Persediaan alatan dan bahan

 Orait, ni persediaan alatan dan bahan sebelum menggoreng.Sebenarnya ada satu lagi mangkuk yang saya guna untuk cedok sedikit adunan asal, kemudian masukkan segengam kacang tanah, kacau sekejap.Ambil atau cedok sedikit adunan yang sudah dicampur kacang tanah tadi dengan sudip atau acuan kacang tanah, letak dua tiga ekor ikan bilis dan masukkan dalam kuali yang sedia berisi minyak yang sudah panas.
Resepi Rempeyek Kacang Tanah
 Ini rupa rempeyek kacang tanah yang sedang digoreng. Time ni, semangat nak buat rempeyek sangat, sampai saya tak perasan yang kat dapur saya ni cuma ada sudip yang jarang-jarang tu, takde yang penuh, so saya guna je sudip nasi dari jenis steel tu. Bolehlah kan macam ni.haha.
 Style Mak Muo saya dan juga Mak saya sendiri, kalau buat rempeyek memang akan goreng sebanyak dua kali.Gorengan pertama kita masukkan sekejap dalam kuali, kemudian angkat dan sejatkan minyaknya.

Hasil gorengan pertama

Resepi Rempeyek Kacang Tanah
 Ini adalah hasil gorengan pertama rempeyek yang saya dah siap sejatkan minyaknya.
Saya tak nafikan, ramai juga yang berjaya buat rempeyek rangup dengan sekali gorengan sahaja.Bagi mak-mak kami pula, bila buat dua kali gorengan rempeyek, sebenarnya dapat jimat lebih masa menggoreng.Sebabnya kali pertama, kita cuma masukkan sekejap dalam kuali.Kali kedua, kita boleh goreng dengan kuantiti rempeyek yang lebih banyak dalam satu gorengan, guna minyak yang banyak dan api sederhana sahaja.Kali kedua ni lebih kepada nak bagi kacang tanah dan ikan bilis masak (rangup) dan juga tepung rempeyek menjadi lebih rangup.

Gorengan kali kedua

Ini pula rempeyek kacang tanah yang sudah melalui gorengan kali kedua.Warnanya sedikit coklat tapi rasanya memang rangup, sedap berlemak dan berempah.
Yang menjadi special resepi Mak Muo saya ni ialah, bahan ikan bilis yang diblend sekali dengan jintan dan ketumbar.Ia menjadikan tepung rempeyek itu berasa lebih berempah dan berlemak.InshaAllah, jika anda peminat rempeyek kacang tanah, resepi ini memang sangat dicadangkan untuk cuba:) Pasti tak menyesal.
Resepi ini juga sebenarnya resepi untuk jualan bagi Mak Muo saya.Mak Muo saya ni kerap mendapat tempahan rempeyek setiap kali hari raya atau jika ada kenduri kahwin sekitar kawasan kampung.Malah ramai juga kalangan rakan-rakan dan saudara mara kami yang sudah menikmati rempeyek kacang tanah ini menyukai akan kerangupan dan kesedapannya.
So, setakat yang saya pernah jumpa, rempeyek kacang tanah mak mertua sayalah yang the best yang saya pernah makan.Eh, kemain den ni ha memuji-muji mak mertua sendiri ya.hihi.Saya cuma memanjangkan sedekah jariah resepi ibu mertua saya.Sila cuba dan kongsikan jika anda menyukainya:)
Selamat mencuba dan dipermudahkan semuanya 🙂


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker