Warganet kecewa keputusan ‘flip flop’ kerajaan berkait PKP. Catatan Ahli Parlimen pembangkang dan warganet yang kecewa dengan pelaksanaan PKP ketiga.
PETALING JAYA: Sejurus perdana menteri mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali ketiga di seluruh negara pada Isnin, pengguna media sosial mula meluahkan kekecewaan terhadap tindakan tidak konsisten Putrajaya.
Ahli politik antara yang terpantas berbuat demikian, dengan ada yang menuntut kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman dan sebahagian lagi mempersoalkan bantuan kepada golongan miskin serta pelajar.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, bukan sekatan yang menyakitkan rakyat dan ekonomi, sebaliknya ketidaktentuan.
“Saya fikir perniagaan dan orang ramai lebih menderita dengan tindakan ‘flip flop’, tidak konsisten dan pengumuman saat akhir berbanding pelaksanaan PKP itu sendiri.
“Jika ia dirancang dengan baik, diumum dan dilaksanakan terlebih dahulu, kita tidak akan berada dalam keadaan seperti ini,” tulisnya di Twitter menggunakan tanda pagar #KerajaanGagal yang trending semula.
Warganet lain turut memberikan reaksi serupa dengan mengkritik sikap tidak konsisten kerajaan.
“Jadi, sebelum ini mereka kata tiada lagi PKP di seluruh negara. Kemudian mereka melaksanakan PKP di kebanyakan negeri, tetapi bukannya seluruh negara. Sekarang, mereka akhirnya mengumumkan PKP di seluruh negara. Ketidaktentuan kerajaan ini sangat mengejutkan,” tulis Jazli Aziz di Twitter.
Seorang pengguna yang menggunakan nama Faiz, menulis Malaysia mampu mengatasi pandemik jika mempunyai pemimpin berupaya.
“Rakyat tidak marah dengan #MCO3. Orang marah keputusan ini dibuat terlalu lewat. Rakyat marah kerana ia dibuat secara tiba-tiba. Rakyat marah kepada kepimpinan tidak cekap.”
Pengumuman PKP, yang ketiga di seluruh negara sejak Mac 2020, dibuat melalui kenyataan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Isnin, dua bulan selepas beliau berkata tiada lagi PKP “menyeluruh”.
PKP terbaru itu menyusul lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara, dengan jumlah jangkitan harian melebihi 3,000 kes lebih seminggu lalu.
Hanya beberapa jam selepas pengumuman itu, tanda pagar #Kerajaan Gagal dan #MCO3 mula trending dan ahli politik seperti Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, turut bersuara.
Yeoh berkata, “perniagaan sedang nazak” dan moratorium pinjaman automatik perlu dilaksanakan semula bagi mengelakkan keadaan lebih teruk.
Katanya, ahli keluarga di daerah sama sepatutnya dibenarkan menziarah kubur sanak saudara pada Hari Raya. Ziarah kubur tidak dibenarkan pada PKP kali ini.
Beliau berkata, pemakaian pelitup muka di luar rumah sepatutnya menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti berisiko rendah.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju moratorium pinjaman perlu dilaksanakan serta-merta kerana rakyat dan perniagaan yang menanggung banyak kesan daripada pelaksanaan PKP memerlukan bantuan.
Beliau turut mempersoalkan bila pelajar akan menerima 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan, akan diagihkan September ini, ketika pembentangan belanjawan tahun lalu, memandangkan pembelajaran dalam talian kini menjadi satu keperluan kerana semua sekolah diarahkan tutup.
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran menyasarkan perisytiharan darurat pada Januari lalu yang disifatkan sebagai perlu untuk kerajaan mengawal Covid-19.
“Darurat diisytiharkan untuk menurunkan jumlah kes…adakah kerajaan ini begitu tidak cekap sehinggakan darurat pun tidak mampu melaksanakan tugasnya?” soalnya.
Baca Artikel Menarik
Layari Laman Facebook My KMU NeT
Musa cadang menteri diberi kursus bidang tugas
You must be logged in to post a comment.