Musa cadang menteri diberi kursus bidang tugas


Bekas ketua polis negara Musa Hassan mencadangkan agar ahli politik yang akan menjawat jawatan menteri perlu diberikan kursus mengenai bidang kuasa dalam perkhidmatan awam.

Katanya, cadangan itu memandangkan rata-rata ahli politik tidak mengetahui mengenai bidang tugas dalam perkhidmatan awam, lebih-lebih lagi dalam Polis Diraja Malaysia, dan menueutnya hanya tahu memberikan arahan sahaja.

“Saya cadangkanlah, bahawa setiap orang ahli politik yang pegang jawatan menteri, perlu diberi kursus.

“Kerana mereka tak tahu perjalanan macam mana perkhidmatan penjawat awam. Mereka tahu nak beri arahan sahaja.

“Kita sebagai penjawat awam, terutama sekali sebagai ketua polis negara (IGP), kita memberikan nasihat kepada ahli politik. Bukan kita menerima arahan daripada ahli politik.

“Kita beri nasihat, bagi mencari jalan yang paling baik untuk kita mengambil tindakan (dari sudut dasar),” katanya.

Dia berkata demikian dalam wawancara bersama Garasi TV semalam yang dikendalikan Zainal Rashid Ahmad.

Wawancara itu antara lain membincangkan mengenai tanggapan bahawa polis dikuasai oleh orang politik, hubungan ahli politik dengan pasaran gelap, isu korupsi dalam pasukan polis dan sebagainya.

Mengulas mengenai persepsi bahawa polis dikuasai orang politik, kata Musa, hal itu disebabkan oleh kenyataan ahli politik suka memberikan gambaran bahawa mereka seolah-olah berkuasa memberikan arahan kepada polis, khususnya IGP.

“Dia (tanggapan) timbul kerana kadang-kadang, orang politik suka memberikan kenyataan, ‘saya telah mengarahkan IGP buat ini’. Nampak tak?

“Tak boleh. Salah. Itu pasal orang anggap begitu. Itu yang mengelirukan masyarakat,” katanya lagi.

Dia diminta mengulas mengenai isu dibangkitkan bekas IGP, Abdul Hamid Bador mengenai isu campur tangan politik dalam urusan polis, yang mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan orang awam.

Musa turut mengakui apabila Zainal membangkitkan bahawa Musa sendiri pernah mengalami “luka yang sama” dengan Abdul Hamid ketika bertugas dahulu, apabila dikatakan bertelagah dengan ahli politik yang didakwa mahu mempergunakan polis.

Secara umumya, Musa berpandangan orang politik tidak memperkudakan polis, kerana Akta Polis 1967 telah menggariskan arahan dan kawalan pasukan polis datang daripada IGP, dan bukannya menteri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula, kata Musa, ialah kementerian yang menjaga PDRM, dalam soal kebajikan, keperluan, peruntukan dan sebagainya.

“Jadi, perlu ada menteri,” katanya.

Dalam soal seperti pelantikan dan pertukaran pegawai kanan polis pula, kata Musa, ia terpulang kepada perbincangan bersama sembilan ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh menteri dalam negeri, bukan mutlak kepada mana-mana individu.

Namun, mengulangi kenyataannya sebelum ini, Musa mengakui, memang ada ahli politik yang cuba campur tangan dalam urusan polis, termasuk yang berlaku ketika dia menjadi IGP.

Malah, dia mengakui IGP yang tidak popular dengan menteri atau perdana menteri mungkin berdepan tohmahan, selain turut mengakui ahli politik boleh menggunakan kuasa untuk menyingkirkan IGP yang tidak sehaluan dengan mereka.

Pun begitu, keputusan akhir sama ada untuk menuruti atau tidak arahan ahli politik yang menyalahi undang-undang dan bidang kuasa polis, kata Musa, tetap terpulang pada IGP serta pengarah-pengarah polis yang berkaitan.

Katanya, berdasarkan Akta Polis 1967, arahan dan kawalan pasukan polis adalah merupakan tugas IGP, dan IGP bertanggungjawab untuk memaklumkan tindakan kepada menteri dalam negeri, bukannya untuk menunggu arahan “ya atau tidak” daripada menteri berkenaan.

Soal menteri bersetuju atau tidak dengan tindakan yang diambil, ia bukanlah hal berbangkit buat IGP.

Disoal bagaimana tanggapan masyarakat bahawa ahli politik menguasai pasukan polis dapat diperbetul, jawab Musa: “Bagi saya senang saja, kamu (ahli politik) bagitahu (rakyat) bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan. Terpulang kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.

“Itu kenyataan yang paling betul,” katanya. Mk

Abdul Hamid Bador dakwa menteri mahu guna cawangan khas untuk kepentingan politiknya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker