Muhyiddin umum PKP seluruh negara


PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Muhyiddin berkata larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan, dan pendidikan berkuatkuasa 10 Mei hingga 6 Jun, manakala larangan dan arahan lain berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun.

Sepanjang tempoh itu, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” kata Muhyiddin.

Ujarnya, kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19.

“Rantaian jangkitan COVID-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” jelas beliau.

Bagaimanapun, ujar beliau sepanjang tempoh itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Ujarnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan perincian garis panduan sepanjang PKP dalam masa terdekat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker