PKP: Jangan tutup industri bersasar sahaja – PPMPM
Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur dan Selangor adalah sangat tidak relevan dan kelihatan tidak wajar dalam kestabilan ekonomi secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen menegaskan, penutupan industri haruslah dibuat secara menyeluruh dan bukannya bersasar kepada sesetengah industri sahaja supaya langkah yang diambil lebih berkesan dan efektif.
“Jika kerajaan memandang serius dalam aspek membendung penyebaran wabak COVID19 ini, mereka harus berlaku adil dalam penutupan industri dan bukan hanya tertumpu pada sektor servis serta kecil sahaja.
“Jika menurut kepada statistik yang menyatakan bahawa seandainya sektor perkilangan berhenti berfungsi dan ditutup, kerajaan akan terjejas teruk dari aspek pembangunan negara dan pendapatan negara, bagaimana pula sektor-sektor lain yang tidak kurangnya turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara? Adakah kami ini tidak memberi sumbangan yang sewajarnya kepada pembangunan ekonomi negara?” soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu jelasnya, pandemik itu bukan semata-mata menular dalam sektor perkhidmatan sahaja tetapi sektor perkilangan dan pembinaan adalah di antara penyumbang utama dalam peningkatan kes di Malaysia.
“Jika perlaksanaan PKP kali ini dilakukan seperti PKP 1.0 yang dibuat pada tahun lalu, ia akan lebih berkesan dan adil buat semua industri dan sekali gus dapat membendung penularan wabak ini dengan lebih pantas.
“Kami bukanlah tidak bersetuju dan menentang tindakan kerajaan dalam perlaksanaan PKP kali ini, cuma apa yang kami harapkan perlaksanaannya haruslah sejajar dan relevan agar ianya benar-benar berkesan dan membuahkan hasil dalam pembendungan penularan wabak.
“Pemilihan dalam keputusan penutupan sektor industri kelihatan tidak setara dengan melihat keadaan di mana sektor perkilangan, pembinaan dan beberapa sektor yang merupakan penyumbang terbesar dalam statistik kebolehjangkitan virus COVID-19 masih boleh diteruskan tanpa diberhentikan dan ditutup malahan sektor kami seperti servis ini menerima tempias dan ditutup seperti kelihatannya kami yang menangung nasib dari pembawakan kebolehjangkitan dari sektor-sektor yang dibuka,” ujarnya.
Zarinah turut berharap kerajaan dapat memikirkan secara meluas dengan impak yang akan ditanggung oleh industri dan sektor yang telah diarahkan untuk ditutup.
“Industri dan sektor servis yang tidak dapat beroperasi akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kemelut untuk terus bertahan dan juga kami sebagai rakyat terlalu terjejas dengan permasalahan ini.
“Harapan kami tidaklah begitu besar dan membebankan, cuma tindakan yang lebih relevan dan setara perlulah diambil kira dan dipandang serius agar kita semua dapat menghentikan penularan wabak COVID-19 dengan lebih berkesan dan efektif,” katanya.-Awani
You must be logged in to post a comment.