Lelaki dituduh dera, bunuh isteri, sedar dari koma
Sydney: Baru sahaja tersedar dari koma, seorang lelaki di Australia dikejutkan pula dengan tuduhan mendera dan membunuh isterinya.
Brian Earl Johnston, 34, yang koma selama 10 hari didakwa dengan tiga tuduhan termasuk membakar isterinya, Kelly Wilkinson hidup-hidup.
Mayat ibu tiga anak ditemui di sebuah kebun di Arundel, Gold Coast, 20 April lalu.
Johnston yang juga bekas korporal tentera Amerika Syarikat mengalami lecur serius pada tangannya.
“Polis mahu menyoal siasat dia namun kami membantah kerana dia berada dalam keadaan tidak sesuai untuk disoal siasat,” kata peguam Johnston, Chris Hannay kepada News Corp.
Sementara itu, keluarga mangsa mendedahkan, Kelly ada menghubungi polis beberapa kali sebelum kematiannya.
Menurut salah seorang adik beradiknya, Natalie, dia pernah menemani Kelly ke balai polis hampir setiap hari bagi melaporkan pelanggaran perintah mahkamah.
Sementara itu, ratusan orang berhimpun di seluruh Queensland bagi memberi penghormatan kepada Kelly dan mangsa penderaan rumah tangga lain serta menuntut keadilan dan tindakan tegas kerajaan.
Sumber : NSTP