Lailatul Qadar: Malam teragung dalam setahun


oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

ANTARA kitab karangan ulama hadis yang khusus membincangkan Lailatulqadar ialah kitab Lailatulqadar oleh al-Hafiz Waliyyuddin Ahmad bin Abdur Rahim bin al-Husain al-Iraqi (wafat 826H). Beliau anak seorang ulama hadis tersohor, al-Hafiz Zainuddin Abdur Rahim al-Iraqi (wafat 806H), pengarang beberapa karya penting seperti Takhrij Ahadith Ihya’ ‘Ulum ad-Din, Alfiyyah as-Sirah dan Alfiyyah Mustalah al-Hadith.

Al-Hafiz Waliyyuddin al-Iraqi memulakan kitabnya ini dengan mencatatkan secara lengkap Surah al-Qadr. Surah ini adalah dalil nyata terhadap kewujudan peristiwa Lailatulqadar dan kelebihannya yang cukup besar apabila ia lebih baik daripada seribu bulan atau 83 tahun.

Menurut al-Iraqi, ulama berselisih pendapat sebab ia dinamakan Lailatulqadar. Pendapat pertama menyatakan sebabnya ialah kerana Allah SWT menentukan pada malam itu rezeki, ajal dan seluruh kejadian di dunia. Setelah itu diserahkan kepada malaikat untuk dilaksanakan sebagaimana firman-Nya yang bermakud: “Pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku (tidak berubah).” Surah ad-Dukhan: 4

Pendapat kedua mengatakan kerana agungnya kedudukan, kemuliaan dan keadaan malam itu. Pendapat ketiga pula mengatakan kerana ia memberikan kepada orang yang menghidupkan malam berkenaan satu kedudukan besar yang belum pernah diperolehnya sebelum itu dan menambahkan kemuliaannya di sisi Allah SWT. Pendapat keempat pula mengatakan kerana segala amalan pada malam itu mempunyai kedudukan yang besar.

Bagaimanapun al-Iraqi tidak mengutamakan mana-mana pendapat, seolah-olah semua pendapat itu adalah munasabah dan dapat diterima. Beliau turut menegaskan bahawa Allah SWT mengkhususkan umat Islam dengan malam yang mulia ini.

Malam yang mempunyai cukup banyak keistimewaan. Antaranya, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang berqiam Lailatulqadar kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya maka akan diampuni dosanya yang lalu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bahkan kata al-Iraqi, terdapat tambahan lafaz: “Dan juga dosanya yang akan datang” seperti yang diriwayatkan dalam Sunan an-Nasa’i al-Kubra, Musnad Ahmad dan Mu’jam at-Tabarani.

Beliau menjelaskan, ulama berijmak bahawa Lailatulqadar ini berkekalan ada dan tidak akan diangkat oleh Allah sehinggalah berlakunya kiamat. Bagaimanapun, mereka berselisih pendapat tentang penentuan bila berlakunya peristiwa itu.

Al-Iraqi mengumpulkan di dalam kitab ini 27 pendapat. Antaranya, pendapat yang masyhur daripada Imam Abu Hanifah bahawa Lailatulqadar berlaku sepanjang tahun. Menurut pendapat Ibn Umar RA dan sekumpulan sahabat lain, ia berlaku di sepanjang Ramadan. Menurut Abu Razin al-‘Uqaili RA pula ia berlaku pada malam pertama Ramadan.

Bagaimanapun, pendapat yang paling masyhur ialah ia berlaku pada 10 hari terakhir Ramadan terutama pada malam ganjil, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Carilah Lailatulqadar pada hari yang ganjil dalam 10 hari terakhir daripada Ramadan.” Riwayat al-Bukhari

Dalam hadis lain pula disebut, ia berlaku pada tujuh hari terakhir Ramadan berdasarkan kisah beberapa sahabat Nabi SAW bermimpi menyaksikan Lailatulqadar yang terjadi pada tujuh hari terakhir Ramadan. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat mimpi kalian semua saling bersepakat pada tujuh hari terakhir. Maka sesiapa yang ingin mencarinya, utamakanlah mencarinya pada tujuh hari terakhir itu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bagaimanapun, Allah SWT hanya memperlihatkan Lailatulqadar kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Terdapat banyak kisah para solihin yang melihat peristiwa itu. Oleh itu, pendapat mengatakan ia tidak dapat dilihat hakikatnya adalah pendapat yang sangat silap dan tertolak.

Menurut sebahagian ulama seperti Malik bin Anas, Sufyan at-Thauri, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah, Abu Thaur, al-Muzani, Ibn Khuzaimah dan an-Nawawi, peristiwa Lailatulqadar akan bertukar-tukar pada setiap tahun.

Tanda Lailatulqadar yang paling sahih menurut al-Iraqi pula ialah apabila matahari pada pagi itu terbit tanpa memancarkan sinar cahaya dan keadaannya seperti bulan pada malam bulan purnama.

Antara doa yang diajarkan Nabi SAW kepada sesiapa yang menemui Lailatulqadar ialah sebagaimana hadis Aisyah RA bahawa beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu jika aku dapat menemui Lailatulqadar, apa yang patut ku ucapkan saat itu?” Baginda menjawab: “Ucaplah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan maka ampunilah aku.” Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim. HM

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Lailatul Qadar: Malam istimewa 1,000 bulan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker