Tangki minyak mentah terbakar, seorang maut, tiga cedera
SHAH ALAM: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera apabila dua tangki minyak mentah sebuah kilang terbakar di kawasan industri Teluk Panglima Garang, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, tiga mangsa termasuk yang maut berasal dari Sabah manakala seorang lagi warga Indonesia. Kesemua mangsa dianggarkan berusia 30-an.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kerja-kerja kimpalan oleh kontraktor yang membaiki sebuah tangki minyak yang rosak.
Katanya, tangki berkenaan adalah tangki minyak yang digunakan sebagai peralatan utama untuk pengeluaran produk berasaskan minyak kelapa sawit seperti sabun dan pelbagai produk lain.
“Ketika kejadian, kilang itu tidak beroperasi berikutan tangki berkenaan sedang dibaiki.
“Seorang tukang kimpal telah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala tiga rakan sekerjanya yang berada berhampiran cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua mereka dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima, Banting dan Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5.36 petang.
“Bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh rakan mereka.
“Petugas kesihatan yang tiba mengesahkan salah seorang mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, Norazam memberitahu, api berjaya dipadamkan kira-kira 15 minit kemudian dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.45 petang.
You must be logged in to post a comment.