Wanita Ini Tampil Mengaku Palsukan Sambal Nyet Berapi Khairulaming
Seorang wanita tampil membuat pengakuan bahawa dia telah menghasilkan Sambal Nyet palsu hasil ciptaan Cef selebriti media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman, 29, atau nama popularnya Khairulaming.
Menurut Khairulaming di laman Twitter, wanita itu datang bertemunya pagi tadi dan dia telah membuat tiga tuntutan terhadap individu tersebut.
Pertama, katanya, adalah agar wanita tersebut membayar pampasan tunai, namun duit tersebut tidak akan dipulangkan kepada pembeli memandangkan proses memulangkan wang bukan mudah selain dia mahu pembeli turut bertanggungjawab dalam isu ini.
“Oleh itu, 100 peratus duit ini aku akan sedekah kepada asnaf yang memerlukan di bulan puasa. Aku tak akan ambil satu sen pun.
“Kedua, video permohonan maaf secara umum. Ini adalah videonya meminta maaf dan mengaku kesilapannya yang palsukan kandungan sambal dan juga rekaan botol Sambal Nyet,” tulisnya di laman Twitter hari ini.
Ketiga, Menurut Khairulaming, tuntutan ketiga adalah kenyataan pengakuan salah di balai polis.
“Tadi dia dah pergi ke Balai Polis Damansara yang aku buat laporan semalam, dan buat pengakuan bertulis di situ. Semua maklumat dan pengakuan salah dan dirakam dalam laporan polis.
“Selain itu, kedai dia pun sudah disekat daripada Shopee walaupun semalam nama kedai sudah tukar dari MasturaAliyah ke DK Perfume Shop,” katanya.
Tambah Khairulaming, dia berharap agar isu tersebut menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan perkara sama pada masa hadapan.
Sumber: Twitter Khairul Aming
You must be logged in to post a comment.