Pelakon Didie Alias Lega Dapat Semula Akaun Instagram Miliknya

Pelakon dan pengacara, Didie Alias lega apabila akaun Instagram miliknya dapat diambil semula selepas digodam individu tidak dikenali Sabtu lalu.

Didie yang memiliki lebih 515,000 pengikut di platform media sosial itu berkata, dia diugut supaya membayar sebanyak AS$1,000 (RM4,102) kepada penggodam itu.

“Individu dari Turki itu menggodam akaun Instagram saya pada Sabtu lalu dan mengugut akan memadam semua gambar. Dia juga mengugut saya supaya saya membayarnya sebanyak AS$1,000 kalau saya mahukan Instagram saya semula,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, Didie tidak membuat sebarang bayaran sebaliknya menerima bantuan rakan yang arif dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Mujurlah ada kawan saya yang mahir dalam IT. Dialah yang membantu untuk mendapatkan semula Instagram saya,” katanya.

Menurutnya, dia mula digodam selepas menekan satu pautan yang diterima di peti mesej Instagram.

“Saya dapat mesej itu daripada pelakon Syanie di Instagram dan dia menghantar satu pautan. Saya pun fikir itu orang yang saya kenal, klik pautan itu. Rupa-rupanya, akaun Syanie terlebih dulu sudah digodam dan penggodam itu menggunakan akaunnya untuk menghantar pautan itu kepada semua rakan Syanie.

“Bila Instagram saya sudah digodam, dia menggunakan modus operandi sama dengan menghantar mesej mengandungi pautan kepada rakan-rakan selebriti yang ada ‘blue tick’.

“Mujur ramai kawan-kawan yang sedar dan menghubungi saya, mengesahkan kalau saya ada menghantar pautan kepada mereka antaranya Datuk Aznil Nawawi, Zizan Razak dan ramai lagi,” katanya.

Didie juga menjadikan ini sebagai pengajaran dan meminta semua pengguna Instagram supaya tidak mudah terpedaya dengan helah individu berniat jahat.

“Saya jadikan ini pengajaran dan kepada semua, jangan mudah percaya kalau terima mesej pautan. Periksa dan selidik dulu sama ada ia benar-benar dari pemilik akaun atau bukan,” katanya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker