Pecat Shahidan, Langkah Terdesak dan Tak Masuk Akal – Datuk Zahidi Zainul



Sebaran :

ARAU : UMNO Bahagian Padang Besar dan Arau menolak keras pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu selain menyifatkan Menteri Besar itu tidak layak sama sekali mengetuai UMNO Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyingkirkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai langkah yang cukup terdesak dan tidak masuk akal.

Soal Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, bagaimana Azlan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar yang menyaksikan Parlimen dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.



“Kami menolak keras pelantikan Azlan. Langkah Ahmad Zahid melantik Azlan hanya bakal menjahanamkan UMNO negeri. Kami UMNO Padang Besar dan Arau menyatakan pendirian jelas menolak pelantikan Azlan.

“Buat apa hendak lantik pemimpin yang kawasannya kalah teruk dalam pilihan raya lalu. Kangar hanya menang dua kerusi DUN daripada lima selain kalah di Parlimen,” katanya merangkap Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan pertukaran jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkuat kuasa semalam dengan Azlan menggantikan Shahidan.

UMNO mesti adakan pemilihan Jun ini demi selesai krisis kepimpinan – Shahidan

Sementara itu, Azlan ketika memberi reaksi pelantikan tersebut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana memberi kepercayaan serta keyakinan kepada beliau mengetuai UMNO Perlis.

Dalam masa sama, Azlan juga menyatakan kesediaan memikul amanah tersebut dengan sebaik-sebaiknya.



Susulan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan jawatan kuasa perhubungan negeri serta tiga bahagian UMNO Perlis dalam tempoh terdekat selain tidak menolak kemungkinan membentuk jawatan kuasa baharu Perhubungan UMNO negeri.

Pertukaran Shahidan yang cukup sinonim dengan UMNO Perlis itu berkemungkinan disebabkan pendirian beliau yang lantang untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Salim Dahaman berkata, UMNO bahagian menolak pelantikan Azlan selain menyatakan sokongan penuh kepada Shahidan yang mengetuai UMNO negeri sejak tahun 1995 itu.



“Azlan datang daripada bahagian yang kalah teruk dalam pilihan raya lalu dan tidak layak mengetuai UMNO negeri. Kita akan pertahankan Shahidan,” katanya

Langgar ‘Keputusan Parti, No Anwar No DAP’, Shahidan Mahu Zahid Dikenakan Tindakan


Sebaran :


Leave a Reply