Mesyuarat MT Hari Ini Akan Menentukan Jatuh Bangun UMNO
PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hari ini dijangka membuat beberapa keputusan penting termasuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung Jun depan.
Selain itu, mesyuarat MT juga difahamkan akan membincangkan agenda sama ada untuk menarik atau menangguhkan sokongan parti terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020).
Semasa perhimpunan PAU bulan lalu, UMNO memberi tempoh hingga Ogos ini untuk kerajaan PN membubarkan Parlimen dan jika tidak, seluruh Ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan kepada gabungan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, satu sumber berkata, keputusan menangguhkan pemilihan parti mungkin akan mengambil kira situasi semasa terutama ketika negara belum bebas daripada ancaman Covid-19 malah kes harian terus statik pada empat angka.
Oleh itu, sumber berkata, UMNO dinasihatkan supaya tidak membuat keputusan terburu-buru, lagi pun parti itu masih mempunyai tempoh waktu.
“UMNO cakna dengan situasi Covid-19 yang membimbangkan namun isu pemilihan UMNO sepatutnya dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat. Tetapi keputusannya tidak semestinya diputuskan esok (hari ini).
“Kita tidak perlu tergesa-gesa. Kita harus mengambil kira hak setiap ahli untuk mengundi pada pemilihan UMNO namun disebabkan kes Covid-19 terus mencatatkan angka tinggi maka sudah tentu wujud kebimbangan untuk melaksanakan pemilihan,” kata sumber ketika dihubungi semalam.
Jelas sumber itu lagi, persidangan Parlimen yang melibatkan 222 ahli Parlimen juga dibatalkan berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19, apatah pula dengan pemilihan UMNO yang akan membabitkan ratusan ribu ahli untuk proses pemilihan.
UMNO mencatatkan jumlah keahlian seramai 3,359,368 orang di 21,883 cawangan di seluruh negara sehingga 26 Mac lalu dan jumlah itu melibatkan pertambahan seramai 127,214 ahli baharu sejak 9 Mei 2018.
Difahamkan, mesyuarat pemilihan UMNO akan bermula di peringkat cawangan pada Jun 2021 dan disusuli peringkat bahagian yang akan melibatkan sekurang-kurangnya 150,000 perwakilan dalam proses pemilihan.
Walaupun pelbagai spekulasi timbul, isu pemilihan UMNO juga sukar untuk diputuskan sama ada akan dilaksanakan sebelum ataupun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Tiada jangkaan bila mesyuarat pemilihan UMNO akan diadakan kerana sistem demokrasi dalam negara juga tidak berjalan seperti sepatutnya apatah lagi untuk fikirkan bila pula PRU-15.
“Ketika ini, penting untuk UMNO ada pendirian mengenai darurat. Sebagai satu parti, UMNO tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan darurat malah kita tidak pernah dirunding oleh mereka yang dalam kerajaan. Jika diteliti, darurat memberikan kuasa mutlak kepada kerajaan serta menyukarkan proses semak dan imbang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, mesyuarat yang dijangka berlangsung pada pukul 3.30 petang akan membangkitkan mandat seperti yang disebut pada PAU 2020.
“Kita terbuka dan bersedia untuk membincangkan apa sahaja pandangan dan cadangan untuk membuat keputusan. Namun, agenda yang jelas adalah mandat yang disebut pada perhimpunan baru-baru ini termasuk penjelasan sokongan kepada PN.
Langgar ‘Keputusan Parti, No Anwar No DAP’, Shahidan Mahu Zahid Dikenakan Tindakan
“Saya tidak menolak kemungkinan perbincangan isu pemilihan UMNO sekiranya ada yang membangkitkannya. Keputusan MT sudah tentu akan mengambil kira pandangan akar umbi parti,” katanya.
Tajuddin menjelaskan, beliau sendiri tidak boleh menjangkakan keputusan mengenai pemilihan UMNO kerana perbincangan masih berlangsung.
Bagi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula, beliau tiada sebarang bayangan mengenai hasil perbincangan MT hari ini.
“Kita ada kira-kira dua jam untuk mesyuarat yang saya jangka bermula sekitar pukul 4 petang kerana kalau ikut sebelum itu kami akan hadir untuk rakaman takbir hari raya pada pukul 3.30 petang.
“Ini adalah mesyuarat bulanan dan akan ada perbincangan sebelum kami semua berbuka puasa bersama,” ujarnya.
UMNO mesti adakan pemilihan Jun ini demi selesai krisis kepimpinan – Shahidan