Majlis pertunangan cetus kluster baharu



Sebaran :

Kota Kinabalu: Sabah hari ini merekodkan satu lagi kluster baharu membabitkan komuniti di tiga buah daerah yang berpunca daripada majlis pertunangan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster baharu berkenaan membabitkan kes di daerah ini, Inanam dan Kuala Penyu.

“Kes indeks bagi Kluster Dambai Inanam merupakan individu yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 16 April lalu.



“Berdasarkan rekod pergerakan, individu berkenaan dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis pertunangan di Kampung Dambai di Mukim Kionsom.

“Susulan kes itu, pasukan kawalan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjalankan pengesanan kontak dalam kalangan tetamu majlis berkenaan.

“Daripada 119 sampel yang diambil, 18 kes dikenal pasti positif Covid-19 termasuk tiga kes di Putatan dan lima kes di Kuala Penyu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.



Mengulas lebih lanjut mengenai kluster terbabit, Masidi berkata, seorang daripada individu yang disahkan positif Covid-19 itu merupakan seorang guru dan menjangkiti muridnya.

“Individu dari Kuala Penyu menjangkiti dua orang murid dalam kelas jagaannya.

“Sehingga hari ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 19 kes,” katanya.



Dalam pada itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan II berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan tiga angka.

“Berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 132 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,538 kes dan dua kematian direkodkan masing-masing membabitkan Tawau dan Sandakan.

“Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar hospital adalah seramai 120 menjadikan jumlah kumulatif 55,894 orang.



“Seramai 967 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 296 orang di hospital, 661 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 10 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply