Pemuda Umno Johor Desak Kerajaan Jujur, Dedahkan Semua Angka Dan Data
1. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor hari ini terpanggil selepas melihat daripada situasi COVID-19 yang dilihat tidak menampakkan perubahan yang positif, malah kalau kita lihat kepada jumlah angka kes harian terus mencatatkan bilangan 4 angka malah jejak ke jumlah lebih 2,000 kes.
2. Persoalan mula timbul, apabila langkah mengisytihar Darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 (yang tidak tegas dan lompong) dikatakan untuk memerangi COVID-19. Namun, bukan kata impak lebih baik, paling-paling menurunkan jumlah kes kepada tiga atau dua angka pun tidak berlaku hari ini.
3. Jadi, apakah relevannya Perintah Darurat untuk memerangi COVID-19? Adakah hanya sekadar untuk memberi tempoh masa cukup untuk barisan Jemaah Kabinet mengumpul duit gaji dan ‘allowance’ atau dana sebelum menghadapi PRU?
4. Disebabkan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak kerajaan bersikap jujur, memberitahu segala angka yang lengkap dan spesifik. Bukan sekadar angka harian yang bersifat ‘umum’ dan sekadar mahu menunjukkan ‘progres’ sahaja. Gaji anda berbelas/berpuluh ribu. Bekerja keraslah seperti nilai gaji diberi!
5. Buat Menteri Vaksin dan Menteri Kesihatan, nyatakan secara terperinci dan data yang jelas berapa ramai Polis, kakitangan KKM, anggota Tentera, Bomba dan lain-lain petugas barisan hadapan yang sudah mendapatkan vaksin. Adakah sudah merangkumi majoriti petugas barisan hadapan di negara ini? Atau sekadar angka umum yang mahu membeli jiwa rakyat.
6. Berapa banyak dan perincikan perbelanjaan yang digunakan untuk pembelian vaksin. Rakyat ingin tahu berapa kerajaan gunakan untuk setiap jenama vaksin yang dibeli sampai Abah pun kata duit kerajaan sudah semakin ‘kering’.
7. Buat Menteri Kewangan, berapa banyak wang KWSP yang sudah diagihkan sehingga hari ini kepada pemohon i-Sinar dan i-Lestari? Berapa ramai penerima mengikut demografik dan kategori pecahan pendapatan yang mendapat manfaat daripada program berkenaan? Tiada! Apa yang cuba disembunyikan?
8. Buat Menteri Kanan yang menjaga perdagangan, pelaburan dan ekonomi… itu belum lagi kami minta perincikan perbelanjaan delegasi ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini. Berapa yang dihabiskan dan berapa nilai pelaburan yang dibawa pulang? Melebihi kos perbelanjaan ke sana atau defisit!?
9. Belum lagi ditanya perbelanjaan Perdana Menteri yang lepas ‘rindu’ berjalan ke negara Asia Barat, berapa jumlah perbelanjaan delegasi ketika itu dan berapa jumlah pelaburan yang berjaya ditarik? Tidak ada langsung angka dan fakta, hanya kata-kata manis yang kononnya berjaya tarik minat pelabur dan macam-macam lagi ayat manis.
10. Menteri Pendidikan pula mengapa berdiam diri saat kes dalam persekitaran sekolah di negara ini nampak peningkatan yang agak membimbangkan? Perincikan berapa ramai pelajar yang dijangkiti COVID-19. Rakyat terutama ibu bapa nak tahu, kerana mereka rasa bimbang keselamatan anak mereka. Jika keadaan terkawal dan tidak kritikal, bermakna bolehlah Parlimen bersidang.
11. Menteri Wanita pula, ke mana menghilang selepas gigih merampingkan diri? Apa inisiatif memperkasakan bantuan kebajikan terhadap keluarga dan mereka terjejas ekoran COVID-19? Adakah sudah memadai bantuan yang dicanang?
12. Apa pula kaitan melantik Timbalan Menteri Pelancongan yang baharu sedangkan sektor pelancongan ketika ini masih belum beroperasi sepenuhnya? Apakah relevan lantikan portfolio ini? Dipilih pula pemimpin yang kalah hilang wang deposit waktu PRU tempoh hari untuk jadi Timbalan Menteri. Haru-biru jadinya.
13. Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak kerajaan memberitahu dan mendedahkan semua angka dan statistik yang diminta secara terperinci untuk kami dan rakyat umumnya lebih jelas mengenai apa yang sudah dilakukan sepanjang tempoh Darurat ini berlangsung.
Mohd Hairi Mad Shah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
You must be logged in to post a comment.