Tulisan khat: 3 individu gagal dapat kebenaran cabar keputusan kerajaan PH
Mahkamah tolak permohonan tanpa sebarang perintah mengenai kos
Tiga individu hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang didakwa mewajibkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Mereka ialah bekas Presiden Persatuan Pelajar Sekolah Cina, Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak, Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, D. Ravi dan seorang wanita R.Visa Letchumy yang menamakan Menteri Pendidikan serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan bagi mendapatkan kebenaran membuat semakan kehakiman yang difailkan pemohon pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
“Mahkamah menolak permohonan itu tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya.
Najib Jelaskan Panjang Lebar Tentang Pelaburan Microsoft Buat Muhyiddin Kesipuan
Ahmad Hanir berkata pada prosiding sebelum ini, beliau berhujah bahawa keputusan yang dicabar pemohon adalah berbentuk polisi dan tidak sesuai untuk dicabar melalui semakan kehakiman.
“Pihak kami berhujah bahawa kerajaan sebelum ini memperkenal pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan bukan tulisan khat,” katanya.
Peguam T. Gunaseelan, yang mewakili Visa Letchumy, pula berkata beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
Ketiga-tiga pemohon memfailkan permohonan itu pada Mei tahun lepas dan mendakwa keputusan kerajaan terdahulu yang dikatakan mewajibkan tulisan khat untuk murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – Bernama
SJKC diterima arus perdana? Hebat kamu ultra kiasu, sindir Ridhuan Tee