Mangsa didakwa dipukul polis mati lepas lebih sebulan di ICU

Seorang lelaki yang sebelum ini didakwa dipukul polis ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya dipotong menghembuskan nafas terakhir semalam selepas lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.

Kakaknya, A Thangamalar, 41, berkata pihak hospital mengesahkan kematian adiknya Ganapathy, 40 yang dimasukkan di hospital pada 8 Mac lalu.

“Adik saya mati pukul 10.55 malam semalam. Punca kematian masih tidak diketahui.

“Bedah siasat akan dijalankan esok,”

Untuk rekod, S Thanaletchumy, 60, ibu kepada mendiang pada 11 Mac membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan, sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

Dalam laporan itu, Thanaletchumy berkata anaknya ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

Menurut laporan itu, anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung.

Namun, selepas dua hari ditahan polis, polis menelefon anak perempuannya untuk datang membawa ubat diabetes dan sakit jantung.

Tetapi, kakaknya dikatakan tidak dibenarkan berjumpa adiknya ketika membawa ubat ke balai polis.

Pada 8 Mac lalu, ahli keluarga mendiang menerima panggilan daripada seorang sarjan yang memaklumkan bahawa Ganapathy telah dibebaskan dan dimasukkan di ICU Hospital Selayang.

Thanaletchumy mendakwa anaknya memberitahunya ketika dalam tahanan dia dipukul oleh polis dengan paip getah.

Di hospital, Ganapathy disahkan mempunyai masalah buah pinggang dan kakinya terpaksa dipotong.

Ahli keluarganya mendakwa kesihatan mendiang menjadi teruk disebabkan dipukul. Mereka turut mendakwa melihat kaki mendiang bengkak dan lebam seperti kesan dipukul.

Mendiang bekerja sebagai peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata bahawa pihak polis sedang menunggu keputusan bedah siasat.

“Siasatan menyeluruh telah dibuat.

“Setakat ini kita tunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Untuk rekod, pada 12 Mac, Arifai memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya telah mengarahkan siasatan terperinci dijalankan berhubung kes.

Sementara itu, ketika dihubungi, peguam kepada keluarga mendiang, K Ganesh mendesak ketua balai meletakkan jawatan kerana menurutnya begitu banyak soalan masih tidak dijawab dalam kes ini.

“Keluarga Ganapathy hancur akibat tidak ketanggungjawaban segelintir orang.

“Kenapa ketua balai, tidak tahu apa yang berlaku di stesennya. Ini satu bukti jelas pengabaian tugas olehnya.

“Dia harus letak jawatan. Dan kes ini harus diklasifikasi sebagai pembunuhan dan disiasat semula,” katanya.

Ganesh turut mempersoalkan kenapa tidak ada sesiapa ditahan sehingga hari ini.

“Ini kerana Ganapathy sedar dan memberitahu kepada ahli keluarganya bahawa dipukul oleh polis,” tambahnya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker