Menteri perlu umum KPI, bukan jadi tukang umum Covid-19 saja, tegas Syed Saddiq
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan adalah lebih baik sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan indeks prestasi utama (KPI) menteri-menterinya dalam melaksanakan tugas, berbanding sekadar dilihat sebagai “tukang umum” sahaja ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Bekas menteri belia dan sukan itu memberi contoh laporan berita di mana Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob memberi amaran akan terdapat gelombang keempat Covid-19 di negara ini.
“Tapi, apa yang lebih penting untuk kerajaan PN lakukan adalah umumkan KPI setiap menteri yang bertanggungjawab dalam hal Covid-19 sebab sehingga hari ini, kerajaan PN bergerak tanpa meletakkan sebarang bentuk KPI untuk rakyat nilai dan pantau.
“Contohnya dalam hal Covid-19, kerajaan PN sepatutnya umum apakah KPI atau prestasi yang kerajaan akan capai.
“Selepas umum darurat, PKP 2.0, kita masih tidak merasa perubahan yang baik kepada jumlah kes Covid-19.
“Malah, menteri umum pula akan ada gelombang keempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Syed Saddiq yang juga pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut memberi contoh peranan menteri “tukang umum” berhubung pengumuman jumlah kes harian setiap hari, jumlah kluster baru dan lama, serta jenis-jenis perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di kawasan-kawasan tertentu.
“Selepas PKP2.0, apakah prestasi kita? Apa yang menteri kesihatan sudah buat dan capai?
“Apa yang timbalan-timbalan menteri kesihatan laksanakan sampai berkesan? Apa yang Menteri Pertahanan Ismail Sabri yang bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara dah berjaya siapkan?
“Ini semua tidak pernah diumumkan. Prestasi dan pencapaian setiap orang adalah hal yang normal dibuat di mana-mana organisasi,” katanya.
Tambah Syed Saddiq, setakat ini, KPI yang pernah diumumkan kerajaan hanyalah sasaran pelaksanaan vaksinasi sehingga 80 peratus jumlah populasi penduduk negara kita.
“Jika ada pengumuman KPI sebegini, barulah rakyat boleh nilai prestasi menteri dan kerajaan PN,” katanya.
Untuk rekod, Khairy Jamaluddin merupakan menteri yang bertanggungjawab untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kalau Menteri Ismail Sabri hanya mahu umum akan ada gelombang keempat Covid-19, ini bukan agenda bergerak ke hadapan yang rakyat mahu dan pinta.
“Jangan hanya jadi ‘tukang umum’ tetapi prestasi dan pencapaian pun tidak pernah dinilai,” katanya. Mk
Alasan Ramadan untuk hadkan tempoh suntikan vaksin menghairankan, kata Syed Saddiq
You must be logged in to post a comment.