Akan belajarkah kita dari Ramadhan?


RAMADHAN datang lagi buat kesekian kalinya dalam hidup kita. Ia adalah bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang mendidik jiwa dan mengembalikan muslim kepada sifatnya sebagai hamba Allah. Anugerah yang Allah kurniakan kepada muslim yang keluar dari madrasah Ramadan dengan jayanya adalah hari raya Aidil Fitri, iaitu hari raya menyambut kembalinya muslim kepada fitrah sebenarnya sebagai seorang muslim.

Bulan Ramadan sepatutnya mendidik kita agar ikhlas dalam segenap amal yang kita lakukan. Tiada matlamat lain selain Allah. Itulah sifat puasa, ibadah yang hanya Allah sahaja yang mengetahui jujur atau tidak pelakunya. Ramadhan sepatutnya mendidik kita agar membuang segala kepentingan peribadi jauh dari kehidupan kita.

Tetapi Ramadan yang datang berulang kali, rupanya masih tidak merubah sebahagian masyarakat kita. Masih ada yang terus tidak jujur dalam percakapan, dalam tindakan dan dalam perjuangan. Masih berpura-pura dan sebahagiannya sudah mula diselaputi nifaq yang tebal. Adakah Ramadan tahun ini akan mengembalikan masyarakat kita kepada kejujuran dan membetulkan semula matlamat hidup kita hanya kerana Allah?

Banyak kisah perjuangan berlaku di zaman silam di bulan Ramadan. Badar berlaku di bulan Ramadhan. Sahabat ra menggali parit persiapan perang Khandak juga di bulan Ramadan. Pembukaan Mekah dan perang Tabuk juga berlaku di bulan Ramadhan. Perang Ain Jalut melawan Tatar membebaskan kota Baghdad dan perang Arab Israel 1973 juga berlaku di bulan Ramadan.

Ramadan mendidik kita untuk memiliki semangat juang yang tinggi dan kesanggupan berkorban yang luar biasa. Ramadan datang dan pergi, tetapi umat Islam sebahagiannya masih lemah dan lesu. Tidak kuat untuk menyatakan kebenaran apatah lagi untuk menentang kebatilan. Adakah Ramadan kali ini akan mengalami nasib yang sama lalu meninggalkan umat yang kekal lesu?

Ramadan adalah bulan di mana turunnya al-Quran. Ulamak menumpukan masa di bulan Ramadhan untuk tilawah dan tadabbur al-Quran. Ramadan sepatutnya mendidik kita menjadi umat yang menjadikan al-Quran sebagai neraca kehidupan dan rujukan dalam segala urusan; politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lainnya.

Tiada makna pada tadabbur al-Quran selain dari mencari apa kehendak Allah dari setiap ayat yang diturunkan kepada kita. Tetapi nampaknya untuk menjadikan al-Quran sebagai rujukan itu masih lagi panjang jalannya. Sebahagian umat masih selesa dengan rujukan Barat dan Timur dan masih yakin dengan penyelesaian dari sumber luar. Adakah Ramadhan tahun ini akan mencipta suatu takdir baru lalu membawa umat kembali menjunjung al-Quran sebagai rujukan hidup?

Ramadan juga adalah bulan infak dan sedekah. Rasulullah saw sebagai manusia yang paling pemurah itu, kemuncak kemurahan jiwanya adalah pada bulan Ramadan. Di bulan Ramadan, kita akan banyak bersedekah dan berinfak. Dari situ Ramadan mendidik jiwa kita menjadi jiwa yang perihatin terhadap kesengsaraan orang lain. Ramadan juga akan menghilangkan sifat kikir dari diri kita.

Kalaulah sifat itu berterusan sehingga di luar dari bulan Ramadan, nescaya tidak akan ada lagi umat Islam yang masih tidak berkecukupan dalam kehidupan. Masyarakat Islam akan menjadi masyarakat yang berlumba-lumba dalam membantu insan yang memerlukan. Tetapi mampukah Ramadhan kali ini melahirkan masyarakat Islam yang kuat ruh takafulnya?

Ramadhan juga adalah bulan mujahadah. Kita berlapar, mengekang nafsu dan di masa yang sama menyibukkan diri dengan ibadah khusus di waktu siang dan malam. Bersengkang mata untuk mengejar malam lailatul qadar dan keluar dari rutin keselesaan untuk beriktikaf.

Mujahadah adalah sifat seorang mukmin dalam perjalanannya mencari redha Allah. Tanpa mujahadah, manusia akan lalai melayan segala kehendak nafsu. Ramadhan mengajar kita untuk menjadi umat yang membuang kelalaian, keseronokan duniawi yang sementara dan sentiasa berusaha mencapai ketinggian jiwa.

Tetapi Ramadan yang datang silih berganti ini, masih lagi meninggalkan umat yang leka di dalam maksiat atau sekurang-kurangnya tenggelam di dalam perkara harus yang berlebihan. Adakah Ramadan tahun ini akan melahirkan umat yang kuat mujahadah dirinya, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya?

Ramadan adalah bulan di mana kita akan menjaga lidah dari menuturkan perkara haram, telinga dari mendengar perkara tidak baik dan menundukkan pandangan mata dari melihat suatu yang dilarang. Kita menjadi manusia yang cukup tinggi akhlak dan adabnya di bulan Ramadan ini.

Istiaqamah dengan adab dan akhlak itu adalah cabaran di luar dari bulan Ramadan. Ramai yang kembali tidak beradab apabila keluar sahaja dari bulan Ramadan, sedangkan Allah mengkehendaki sifat itu kekal selamanya dalam hidup kita. Mampukah Ramadan tahun ini menjadikan adab dan akhlak sebagai perhiasan kekal dalam keperibadian kita?

Demikianlah Ramadhan dan pendidikan jiwa seorang muslim. Puluhan kali Ramadan datang, puluhan kali itu jugalah umat kita kembali kepada kelalaian selepas Ramadan. Moga Ramadan kali ini akan mengubah segala kebiasaan itu, hingga akhirnya kita benar-benar berjaya menjadi umat baru dengan segala sikap dan budaya baik yang baru.

Perubahan dalam diri umat Islam itu adalah kunci kepada kembalinya umat Islam kepada kekuasaan dan kepimpinan. Allah memberi kita peluang setiap tahun untuk kita kembali mengambil peranan kepimpinan itu tetapi kita sahaja yang tidak sedar.

Allahul Musta’an.

Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA

Benarkah meninggal dunia di bulan RAMADHAN terlepas seksa kubur?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker