Baru sedar ke? Najib persenda Guan Eng tentang cukai ‘bayar dulu, bincang kemudian’


PETALING JAYA: Najib Razak mempersendakan desakan Lim Guan Eng supaya Putrajaya memansuhkan peruntukan baharu bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mewajibkan cukai dibayar dahulu, walaupun taksirannya dicabar.

Bekas perdana menteri itu yang menerima notis bankrap difailkan terhadapnya awal bulan ini atas kegagalan membayar RM1.74 bilion tunggakan cukai dan penalti, tertanya-tanya jika Lim baru menyedari undang-undang itu juga boleh digunakan terhadap pembangkang.

Najib dalam catatan di Facebook berkata, ada kemungkinan seseorang menyalahgunakan akta itu untuk mengenakan cukai RM1 trilion terhadapnya, yang cukup untuk melangsaikan hutang negara.

“Wajar atau tidak, (itu) lain cerita. Kamu bayar dulu, bincang kemudian.

“Kalau tak bayar RM1 trilion itu, kerajaan bankrapkan kamu dan kamu hilang kerusi Parlimen,” katanya.

Angka trilion ringgit hutang itu dipetik Lim pada 2018, ketika menjadi menteri kewangan, mewakili jumlah keseluruhan hutang negara.

Najib turut menolak dakwaan Lim yang peruntukan baharu itu diperkenalkan Disember 2020, sebaliknya ia sudah wujud sejak Barisan Nasional menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menyalahgunakan undang-undang itu ketika menjadi perdana menteri.

“Pendekatan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) masa itu adalah untuk memberi ruang kepada yang dicukai untuk mendapat keadilan.

“LHDN tak senang untuk bankrapkan sesiapa sebab jika yang dicukaikan telah dibankrapkan, maka LHDN tak dapat kutip apa-apa.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Lim bukannya tidak tahu cukai penalti tambahan RM1.74 bilion sebenarnya tidak wajar, tidak logik dan merupakan penyalahgunaan kuasa.

Tetapi, katanya, LHDN bawah kementerian Lim, meneruskan tindakan itu kerana kerajaan Pakatan Harapan “tak suka pada saya” dan kerajaan Perikatan Nasional meneruskannya walaupun menteri kewangannya tahu tindakan itu salah.

“Sekarang, Guan Eng dan PH baru sedar untuk bimbang akta cukai ini sedang disalahgunakan, apabila mereka dakwa LHDN turut diperalatkan untuk memaksa Ahli Parlimen PH lompat satu persatu.”

Najib berkata, walaupun sesetengah undang-undang, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, mempunyai tujuannya, ia tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan politik. FMT

Guan Eng masih ada terowong ajaib dia – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker