Australia Perlukan 7,000 Pekerja Petik Buah, Janjikan Ganjaran Sebanyak RM300,000


Impak pandemik turut memberi kesan kepada petani sayur-sayuran dan buah-buahan di Australia. Mereka difahamkan berselubung dengan rasa bimbang dengan kemungkinan tanaman mereka akan memburuk disebabkan kekurangan kakitangan atau pekerja yang turun untuk membantu melancarkan produktiviti mereka.

Terbaharu, pihak Queensland Strawberry Grower Association (QSGA) menawarkan hadiah wang tunai 100,000 dolar Australia, atau lebih dari RM300,000. Hadiah ini bertujuan untuk menarik minat orang ramai yang mencari pekerjaan selain daripada membantu QSGA menuai strawberi pada musim sejuk tahun ini, lapor ABC News.

Difahamkan bahawa petani di Australia telah melaporkan kerugian besar disebabkan kekurangan pekerja dalam sektor tuaian tanaman. Sebahagian daripada petani lain di Queensland bahkan telah mengurangkan kawasan tanaman, sementara yang lain pula menutup ladang mereka kerana bimbang dengan kekurangan pekerja yang dihadapi oleh mereka.

QSGA adalah sebuah persatuan yang dibangunkan untuk membantu para petani strawberi di Australia mengumumkan rancangan untuk menjadikan pesta menuai tahun ini sebagai sebuah perlumbaan. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan juga baucar percutian.

“Kami mahu para peserta berusaha memenangi perlumbaan dan juga bekerja keras. Kami mendorong sesiapa yang berminat untuk datang ke Queensland dan mencuba kerja sebagai pemetik buah strawberi pada musim sejuk dan menikmati musim menuai. Semakin lama anda bekerja di ladang, semakin besar kemungkinan anda untuk mendapat hadiah wang tunai sebanyak 100,000 dolar Australia pada akhir musim,” kata Adrian Schultz, Presiden QSGA

Media North Queensland Register dalam laporannya pula menyebut bahawa QSGA memerlukan 7,000 pekerja pemetik buah pada musim sejuk tahun ini. Andrian berkata industri strawberi di Queensland menerima sesiapa sahaja yang mahu bekerja di sana.

Tambah beliau lagi, selain wang tunai, QSGA juga ada menawarkan hadiah lain seperti percutian selama beberapa bulan ke kawasan tumpuan pelancong setelah musim menuai berakhir.

Namun apa yang membimbangkan adalah mengenai faktor keselamatan pekerja. Tawaran hadiah yang diberikan memang mampu menarik minat orang untuk datang bekerja. Tetapi keadaan pekerja yang tidak dijaga dengan baik dan gaji yang tidak mencukupi telah memberi gambaran negatif.

Menurut Adrian, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan tidak ada lagi eksploitasi pemetik buah. Mereka yang berminat untuk bekerja di dalam sektor pertanian akan diberi peluang untuk memeriksa ladang. Mereka juga akan diberikan tempoh percubaan dan jika mereka tidak yakin dengan pekerjaan terbabit, mereka boleh mencuba bidang lain.

“Apa yang kami lakukan adalah mengumpulkan banyak maklumat, jadi jika anda tidak suka bekerja di satu ladang atau diperlakukan dengan buruk, maka anda tahu ke mana anda harus pergi. Semua maklumat ini akan disediakan dan dalam enam bahasa yang berbeza. Jadi mudah-mudahan ini merangkumi semua yang ada,” kata Schultz lagi. Vc

Bukan ‘jaguh kampung’, tauke dari Semenyih ini buka ladang durian terbesar di Australia

Related Articles

4 Comments

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker