Tinggalkan nota ‘maafkan saya’ sebelum mati



Sebaran :


PETALING JAYA – Angkara masalah kewangan, seorang lelaki tempatan dan isterinya disyaki bertindak membunuh diri di kediaman mereka di Jalan Medang Serai, Bangsar, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa lelaki berusia 46 tahun dan isterinya, warga Thailand, 38, ditemui mati oleh seorang ejen hartanah ketika pergi ke kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ejen berkenaan sebelum itu menghubungi mangsa berkali-berkali namun tidak dijawab sebelum mengambil keputusan pergi ke kediamannya.



Menurutnya, dia dilaporkan mengambil kunci kediaman daripada pemilik rumah sebelum pergi ke kediaman yang ditempah mangsa menggunakan aplikasi dalam talian bagi tujuan sewaan pada 6 April lalu.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah teres tiga tingkat itu, ejen terbabit menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur sebelum menghubungi pihak polis.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati pasangan berkenaan bertindak membakar arang di dalam bilik dan menutup pintu serta tingkap lalu tidur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Jelasnya, pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan kedua-dua mangsa disyaki mati antara pukul 6 hingga 7 pagi hari ini akibat sesak nafas kerana terhidu asap.

“Polis turut menemui nota di tempat kejadian dipercayai telah ditulis mangsa lelaki yang mana mangsa meminta maaf kepada pihak yang ingin menuntut bayaran hutang daripadanya.

“Berdasarkan nota itu, kita percaya dia bertindak sedemikian kerana mempunyai masalah kewangan,” ujarnya.



Tegasnya, pihak polis juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes terbabit selain terdapat saksi yang rapat dengan pasangan itu mendakwa mangsa tidak mempunyai musuh.

“Bagaimanapun siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat dan siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). K Online



Kerana cemburu, pelajar dipercayai bunuh diri


Sebaran :


Leave a Reply