Anwar calon Perdana Menteri PH

PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon Perdana Menteri bagi PH dan perkara itu antara yang diputuskan dalam Pemukiman Pimpinan PH yang berlangsung selama dua hari di sini bermula semalam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi gabungan parti politik tersebut.

Turut diputuskan dalam pemukiman tersebut ialah PH bersedia bekerjasama dan berunding dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat selain mendesak Perdana Menteri segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan menamatkan darurat.

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU-15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil.

“Kami mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan negara dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama seiring dengan sinergi pembangunan ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan,” kata kenyataan itu lagi.

Selain Anwar, antara pimpinan PH yang kelihatan hadir dalam pemukiman tersebut ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Dalam ketetapan itu juga menyebut, PH akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto Pakatan Harapan.

“Kami mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.-UO

PAU 2020: Tok Mat Dedahkan Calon Perdana Menteri UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker