Pihak pendakwaan selektif, hanya dakwa Najib



Sebaran :


Mahkamah Rayuan dimaklumkan hari ini bahawa pihak pendakwaan bersikap selektif ketika mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan pecah amanah (CBT) berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam bela, Harvinderjit Singh berkata, dakwaan hanya dibuat terhadap Najib sedangkan pasukan penyiasat turut mengeluarkan notis merah untuk menangkap tiga individu lain – atas kesalahan sama.

Tambahnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah meminta pertolongan Interpol (polis antarabangsa) untuk mengeluarkan notis merah.



Notis tersebut adalah untuk bekas pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang individu lain.

Begitupun, ketiga-tiga individu tersebut dikatakan pergi ke luar negara selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya pada 2018.
“Antara bulan Jun atau Julai 2018, notis merah dikeluarkan terhadap ketiga-tiga individu itu kerana CBT berjumlah RM50 juta.

“Setelah mengambil kira perkara itu, pihak pendakwaan tiba-tiba memutuskan untuk mendakwa Najib,” katanya.



Begitupun, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk mendakwa sesiapa yang mereka mahu.

Tambah Harvinderjit, Md Suboh dan Nik Faisal ialah individu yang boleh menurunkan tandatangan untuk SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (syarikat dikaitkan dalam pemindahan dana SRC).

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif Ihsan Perdana, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman yang diamanahkan untuk menjalankan program tanggungjawab korporat dan sosial (CSR) untuk SRC yang kemudiannya memindahkan wang itu ke akaun Najib.



“Najib tidak bertanggungjawab untuk CBT tetapi orang lain (bertanggungjawab) kerana RM50 juta telah dipindahkan,” katanya.
Begitupun, katanya, pihak pendakwaan berpendapat bahawa Najib yang melakukan kesalahan itu.

Sementara itu, Abdul Karim menegur Harvinderjit kerana berulang kali menyatakan hujah yang sama.

Beliau turut mengingatkan peguam tersebut supaya memendekkan hujahnya memandangkan apa yang dihujahkan telah disebut sebelum ini.
“Anda ulang perkara sama. Lebih baik sekiranya ada kaitannya dengan CBT berbanding anda bangkitkan pekara ini kepada kami yang telah pun dilakukan (sebelum ini),” katanya.



Prosiding rayuan berlangsung di hadapan dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lepas, Najib didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.



Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa. Awani

Notis muflis ada kaitan undian calon PM, keputusan PAU, kes mahkamah – Najib Razak


Sebaran :


Leave a Reply