Pengeluar vaksin Covid terbesar dunia perlu bantuan kerajaan India


MUMBAI: Institut Serum India (SII) memerlukan bantuan kewangan daripada New Delhi disebabkan sekatan mengeksport vaksin Covid-19, kata ketua pegawai eksekutifnya, dengan pengeluar vaksin terbesar dunia itu menghadapi tekanan daripada lonjakan kes di negara itu.

Bulan lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, menyekat pengeksportan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan SII ketika negara dengan 1.3 bilion penduduk itu menghadapi gelombang baharu penularan Covid-19 yang membimbangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif SII, Adar Poonawalla memberitahu NDTV lewat malam tadi, tekanan itu bermakna kapasiti pengeluarannya “sangat tertekan, secara terus-terang”.

“Dunia memerlukan vaksin ini dan kami mengutamakan keperluan India ketika ini, tetapi kami masih tidak mampu membekalkan…kepada setiap orang India yang memerlukannya.”

Katanya, syarikat itu kini memerlukan dana tambahan sebanyak 30 bilion rupee untuk meningkatkan kapasitinya dan meminta bantuan kewangan kerajaan.

“Ini tidak pernah dirancang pada awalnya kerana kami sepatutnya mengeksport dan mendapat dana dari negara eksport, tetapi kini ia tidak berlaku, kami perlu mencari kaedah inovatif lain untuk meningkatkan kapasiti kami,” kata Poonawalla.

SII, yang menghasilkan lebih 2 juta dos Covishield – nama tempatan bagi vaksin AstraZeneca – setiap hari, sedang membekalkan vaksin itu pada harga subsidi kira-kira 150 rupee kepada India, harga itu jauh lebih rendah daripada kadar yang dikenakan untuk eksport.

“Harga yang ditetapkan itu menguntungkan, tetapi ia tidak cukup menguntungkan untuk melabur semula secara besar-besaran bagi meningkatkan kapasiti.”

SII – yang mencatatkan pendapatan tahunan lebih USD800 juta pada 2019 hingga 2020 – menyaksikan profilnya melambung sejak penularan pandemik, dengan beberapa negara termasuk Britain, Brazil dan Afrika Selatan berebut-rebut membeli vaksinnya.

Syarikat itu turut memeterai perjanjian membekalkan 200 juta dos kepada Covax, usaha yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memperoleh dan mengagihkan vaksin kepada negara miskin.

India mula memberikan vaksin kepada rakyatnya yang berusia 45 tahun ke atas minggu lalu, dengan sasaran 300 juta orang divaksin menjelang Ogos ini.

Setakat ini, kira-kira 87 juta suntikan vaksin sudah diberikan.

India merekodkan lebih 100,000 kes Covid-19 dalam sehari buat julung kalinya pada Isnin lalu, dengan New Delhi dan bandar lain melaksanakan sekatan baharu terhadap pergerakan dan perhimpunan awam susulan lonjakan kes. FMT

Kilang vaksin terbesar dunia terbakar

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker