Noh persoal syarikat dua bulan diberi pajakan tanah 21 tahun


BESTARI JAYA – Barisan Nasional (BN) Selangor tidak menolak kemungkinan wujudnya salah laku rasuah dalam pemberian tanah pajakan seluas 1,942 hektar, di sini, kepada dua syarikat swasta sedangkan baru dua bulan ditubuhkan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, lebih mencurigakan apabila kedua-dua syarikat itu juga didakwa dimiliki oleh beberapa individu yang sama.

“Mengapa syarikat yang baru ditubuhkan hanya dalam tempoh dua bulan. Carian di SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) kita dapati syarikat ini baru ditubuhkan pada 17 Julai 2018 dan 10 Julai 2018.

“Sedangkan kelulusan diberi pada 14 September 2018, lebih kurang dua bulan selepas ditubuhkan telah pun dianugerahkan tanah pajakan ini,” katanya pada sidang media di Ladang Tennamaram, hari ini.

Pada 31 Disember tahun lepas, MalaysiaGazette melaporkan seramai 400 peneroka Ladang Tennamaram bakal diusir selepas kerajaan negeri memajakkan tanah terbabit kepada syarikat luar selama 21 tahun.

MalaysiaGazette difahamkan pajakan itu diberikan kepada dua syarikat yang dipercayai milik individu dari Sarawak.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang melahirkan rasa kesal apabila generasi peneroka Ladang Tennamaram tidak dibawa berunding sebelum pajakan dilakukan kerajaan negeri, sedangkan mereka telah mengusahakannya sejak 1965.

Beliau turut mendedahkan kedua-dua syarikat terbabit mengutip cukai atau bayaran tapak sehingga RM150 sebulan kepada setiap peneroka yang mahu terus mengusahakan ladang sawit dan tanaman sayuran-sayuran.

“Apabila tanah ini diberikan kepada dua syarikat ini, malangnya syarikat itu pula mengenakan sewa kepada petani-petani, saya difahamkan RM150 untuk satu ekar.

“Selama ini petani-petani mereka buat kerja tanpa halangan malah dapat bantuan sebagai pekebun-pekebun kecil.

“Sekarang ini bukan saja syarikat itu dapat tanah bahkan dapat pasir, sekarang cukai pula dia dapat dengan mengenakan sewa kepada peneroka,” katanya.

Sementara itu, Noh mengingatkan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin agar segera turun padang membantu menyelesaikan masalah 400 peneroka terbabit yang merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Mana perginya ADUN PKR ini, ini kerajaan negeri PKR, tolong selesaikan masalah dalam kawasan mereka ini.

“Ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, jadi hargailah sokongan rakyat setelah beri kemenangan di luar dugaan, BN kalah di sini, sebelum ini tak pernah kalah pun,” katanya. MG

Kerajaan Selangor perlu tetapkan dasar jelas, henti susahkan rakyat – Noh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker